Jangan jadikan Hospital PJ satu lagi ‘Hospital Maran’

Jangan jadikan Hospital PJ satu lagi ‘Hospital Maran’

PETALING Jaya tiada hospital kerajaan yang mudah diakses rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) Petaling Jaya memandang serius keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tidak meneruskan projek Hospital Maran yang telah diluluskan sejak 2018.

Projek bernilai RM350 juta itu diumumkan sebagai keperluan penting bagi penduduk Maran. Namun selepas bertahun-tahun menunggu, kerajaan kini menyatakan projek tersebut tidak lagi menjadi keutamaan atas alasan kadar penggunaan katil di hospital berhampiran masih rendah.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar kepada rakyat Petaling Jaya. Jika sebuah hospital yang telah diluluskan boleh ditangguhkan tanpa kepastian selepas hampir lapan tahun, berapa lama pula rakyat Petaling Jaya perlu menunggu untuk melihat Hospital Petaling Jaya menjadi kenyataan?

Petaling Jaya merupakan antara bandar paling padat dan pesat di negara ini, namun kawasan ini masih kekurangan hospital kerajaan yang mudah diakses rakyat. Hampir semua hospital di kawasan tersebut ialah hospital swasta yang tidak mampu ditanggung golongan pekerja dan B40. Akibatnya, penduduk Petaling Jaya terpaksa bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan hospital lain yang sedia sesak.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menyatakan persetujuan untuk membina hospital kerajaan di Petaling Jaya dan beberapa lokasi juga telah dikenal pasti. Namun sehingga hari ini, rakyat masih belum menerima garis masa yang jelas mengenai status projek tersebut. Persoalannya, adakah projek ini benar-benar akan diteruskan atau bakal menerima nasib sama seperti Hospital Maran?

PSM Petaling Jaya menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai:

  1. Status sebenar cadangan Hospital Petaling Jaya.
  2. Garis masa pelaksanaan projek.
  3. Bentuk dan kapasiti hospital yang dirancang.
  4. Jaminan bahawa projek ini tidak akan ditangguhkan atas alasan fiskal atau perubahan dasar pada masa hadapan.

 

Pun begitu, baru-baru ini Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad memberitahu mesyuarat teknikal antara KKM dan kerajaan negeri Selangor mengenal pasti kompleks yang dipanggil X Park PJ South itu sebagai tapak berpotensi untuk kemudahan baharu berkenaan. 

Kesihatan awam bukan isu yang boleh ditangguhkan mengikut perubahan politik atau keutamaan semasa. Rakyat Petaling Jaya memerlukan sebuah hospital kerajaan yang mudah diakses serta mampu memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat. Kerajaan mesti memberikan komitmen yang jelas dan telus supaya rakyat tidak terus menunggu tanpa kepastian. –UTUSAN

 

G. GANDIPAN NANTHA

Ahli jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). & Pengerusi PSM Petaling Jaya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN