BARU-BARU ini dikejutkan dengan penahanan beberapa kapal kemanusiaan yang membawa peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari pelbagai negara termasuk 27 rakyat Malaysia oleh tentera Israel pada 18 hingga 19 Mei lalu. Dua daripada rakyat kita yang ditangkap adalah Patmanathan Sivasamy (Kapten Siva) (Ferluto) dan Dr. Chin Shiau Weai (Dr. Chin) (Alcyone).
Mereka terlibat dalam misi kemanusiaan lautan tersebut malah secara tidak langsung menunjukkan sumbangan kemanusiaan dan tanggungjawab bukan terletak pada ukuran agama, bangsa, latar belakang seperti mana digemburkan segelintir manusia buta hati serta buta akal tentang kemanusiaan.
Malah penglibatan mereka membuktikan semangat kemanusiaan dan cakna konflik serantau walaupun bukan beragama Islam.
Sebagai orang Islam sepatutnya berasa bangga dan kagum dengan usaha yang ditonjolkan mereka serta peserta GSF antarabangsa. Kita juga wajar mencermin diri dan melihatkan usaha yang dilakukan mereka bukannya merendahkan usaha peserta GSF.
Mereka tinggalkan kerjaya, keluarga, sahabat dan kehidupan selesa seketika demi menyahut seruan Sumud Flotilla dan rakyat Palestin bahkan mereka lebih suka turun melihat sendiri daripada menjadi penonton di rumah atau mendengar dari mulut orang.
Seperti dikatakan, kita harus melihat dari segala sudut mengapa mereka boleh dan kenapa kita tidak lakukan perkara sama?
Jika imbas semula 39 tahun lalu pada 1987, seramai 40 sukarelawan perubatan Malaysia dari pelbagai kaum digerakkan ke Lubnan bagi membantu pelarian Palestin dan rakyat negara itu meskipun kini kisah itu sudah tenggelam dari ingatan rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
Jika masyarakat bukan Islam boleh menunjukkan keprihatinan terhadap pelbagai isu kemanusiaan dan konflik serantau dengan turut terlibat dalam usaha membantu mangsa, mengapa pula umat Islam tidak boleh mengambil peduli terhadap penderitaan yang berlaku di Ukraine dan Congo serta tampil melakukan perkara yang sama? Janganlah kita hanya berdiam diri atau terikut-ikut dengan sikap segelintir pihak yang bersifat prejudis dan berselindung di sebalik masyarakat. –UTUSAN
ENCIK G
Kuala Lumpur










