PADA 30 April lalu, saya menonton sebuah forum di televisyen. Forum berkenaan amat menarik apabila menyentuh akronim AIR yang merujuk amanah, ibadah dan rahmah.
Kupasan itu membuka satu sudut renungan baharu tentang peranan guru dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Secara saintifik, tubuh manusia terdiri daripada kira-kira 60 peratus air, manakala bumi pula diliputi sekitar 71 peratus air. Air mengawal suhu, mengangkut nutrien dan mengekalkan keseimbangan kehidupan.
Al-Quran turut menegaskan kepentingan air sebagai sumber kehidupan. Hakikat ini menjadikan air sebagai metafora paling tepat untuk memahami peranan guru dalam membina insan.
Guru ibarat air yang menghidupkan tanah gersang ilmu. Mereka menyuburkan minda murid dengan pengetahuan, membimbing pemikiran kritis serta membentuk potensi manusia secara menyeluruh.
Dalam pendidikan abad ke-21, guru bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pembimbing yang membentuk cara berfikir murid.
Seperti air yang mengambil bentuk bekasnya, guru juga perlu fleksibel. Mereka menyesuaikan pendekatan mengikut kepelbagaian murid dari segi latar belakang, kebolehan dan keperluan.
Pendekatan pengajaran menjadi asas agar setiap murid mendapat peluang pembelajaran yang adil.
Guru juga berperanan membersihkan kekeliruan ilmu dan membina sahsiah murid.
Dalam dunia yang sarat cabaran moral, guru menjadi ejen pembentukan nilai dan akhlak. Guru menghadirkan ketenangan seperti air yang mengalir tenang, membantu murid mengurus emosi dan tekanan pembelajaran.
Namun, guru turut berdepan cabaran besar seperti transformasi digital, beban pentaksiran dan jurang pendidikan. Walaupun begitu, mereka terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Amanah menuntut tanggungjawab mendidik generasi dengan integriti. Ibadah menjadikan tugas guru sebagai pengabdian kepada Allah SWT. Rahmah pula mencerminkan kasih sayang dalam mendidik tanpa mengira kelemahan murid.
Gabungan tiga nilai ini menjadikan guru bukan sekadar pendidik tetapi pembina tamadun. Seperti air yang menjadi asas kehidupan, guru menjadi asas kepada pembinaan insan dan kemajuan bangsa.
Sempena Hari Guru, kita wajar menghargai pengorbanan mereka yang terus mengalirkan ilmu tanpa jemu. Sesungguhnya, guru adalah ‘air kehidupan’ yang menghidupkan masa hadapan negara. – UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor










