Dakwah melangkaui sempadan masjid, madrasah

Dakwah melangkaui sempadan masjid, madrasah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era maklumat berada di hujung jari, wajah dakwah Islam mengalami perubahan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Jika dahulu ilmu agama dicari di masjid dan madrasah, kini para pendakwah hadir terus ke skrin telefon pintar melalui TikTok, Instagram dan YouTube.

Peralihan daripada dunia cetakan kepada dunia digital ini membuka ruang baharu kepada pengamal media dan pendakwah Islam dalam menyampaikan tanggungjawab mereka kepada agama mahupun masyarakat.

Namun, kemudahan ini turut menimbulkan persoalan penting, adakah cukup bagi seorang pendakwah hanya mahir berkomunikasi tanpa memahami konteks semasa?

Realiti hari ini menuntut asatizah melangkah lebih jauh. Cabaran utama bukan lagi sekadar apa yang disampaikan tetapi bagaimana mesej itu disesuaikan dengan realiti masyarakat moden.

Tunku Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz menegaskan keperluan modul latihan seperti Akademi Seni Media Islam (ASMI) yang bukan sahaja melatih kemahiran komunikasi tetapi menggabungkan ilmu Islam, literasi media dan kefahaman realiti dunia.

Pendekatan ini memastikan mesej dakwah tidak bersifat ‘syok sendiri’, sebaliknya mampu menyentuh hati masyarakat secara berkesan.

Perkembangan ini berlaku seiring dengan perubahan global. Data Pew Research Center menunjukkan populasi umat Islam berkembang lebih pantas berbanding populasi dunia antara 2015 hingga 2060.

Namun, pertumbuhan ini bukan sekadar angka tetapi mencerminkan pencarian makna dalam kehidupan moden yang semakin kompleks.

Dalam dunia yang serba pantas, manusia sering terperangkap dalam tekanan kerja, pembelajaran dan hiburan. Keadaan ini mendorong pencarian terhadap ketenangan dan makna hidup yang lebih mendalam.

Di sinilah dakwah digital memainkan peranan penting dalam membimbing jiwa masyarakat agar kembali mengingati Allah SWT, bukan sekadar mencari hiburan semata-mata.

Islam tidak menolak kerjaya dan kejayaan material, namun menuntut keseimbangan antara aspek material dan spiritual.

Kehidupan yang hanya mengejar kebendaan membawa kepuasan sementara, manakala kekuatan spiritual memberi arah, ketenangan dan makna hidup.

Kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk insan yang seimbang.

Dalam ruang digital pula, maklumat tersebar dengan sangat pantas tetapi tidak semuanya benar. Fenomena berita palsu dan maklumat tidak sahih menjadi cabaran besar kepada masyarakat.

Justeru, pendakwah perlu menggalakkan sikap tabayyun, iaitu menyemak dan menilai kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, selain mematuhi etika komunikasi berlandaskan nilai agama.

Apabila minat terhadap Islam meningkat dalam kalangan masyarakat global, tanggungjawab pendakwah turut bertambah. Mereka kini tidak lagi berdakwah kepada kelompok kecil tetapi kepada pendengar global yang menilai setiap perkataan dan tindakan.

Media sosial seperti TikTok dan Instagram bukan sekadar platform hiburan tetapi medan penting dalam membentuk persepsi terhadap Islam.

Jika digunakan secara bijak, platform ini mampu meluruskan salah faham dan memperbetulkan pandangan negatif terhadap agama. Malah, siaran langsung dan kandungan digital membolehkan masyarakat mendapatkan ilmu secara fleksibel tanpa batasan tempat dan masa.

Golongan muda yang banyak menghabiskan masa di media sosial perlu didekati melalui pendekatan yang sesuai dengan dunia mereka. Pendakwah perlu memahami trend semasa seperti cabaran TikTok dan audio siar bagi memastikan mesej dakwah kekal relevan serta dekat dengan jiwa generasi muda.

Peranan asatizah hari ini telah berkembang daripada guru di bilik kuliah kepada penyampai ilmu di pentas global. Penguasaan ilmu agama perlu disepadukan dengan kemahiran media digital agar dakwah kekal berkesan dan relevan.

Hanya dengan pendekatan yang seimbang antara ilmu, teknologi dan hikmah, keindahan Islam dapat disampaikan melangkaui sempadan fizikal dan generasi. – UTUSAN

MUAZ ZAINAL ABIDIN & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN