SEJARAH dakwah di Malaysia sedang mengalami anjakan paradigma yang menarik melalui pendekatan yang dibawa oleh tokoh seperti Datuk Mohd. Kazim Elias. Beliau tidak lagi sekadar bergantung kepada mimbar tradisional, sebaliknya menggunakan elemen antropologi yang sangat dekat dengan jiwa anak muda iaitu dunia permotoran.
Penggunaan jentera ikonik seperti Yamaha X1R, RX-Z 135 edisi pertama, dan modifikasi kenderaan hibrid seperti Proton Arena yang diubah suai wajahnya menjadi Mitsubishi Evo 3 bukanlah sekadar hobi koson, tetapi merupakan strategi penarikan minat yang sangat sistematik.
Jika dilihat melalui perspektif emik iaitu pandangan dari dalam kelompok anak muda itu sendiri, tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap subbudaya mereka. Apabila seorang tokoh agama meminati jentera yang sama dengan mereka, jurang autoriti yang kaku itu runtuh dan digantikan dengan rasa hormat serta kebersamaan.
Anak muda tidak lagi merasa asing untuk hadir ke majlis ilmu kerana melihat ikon mereka berkongsi minat yang sama. Ini mewujudkan satu zon selesa yang membolehkan input agama diserap dengan lebih organik tanpa rasa dipaksa atau dihakimi.
Manakala dari perspektif etik atau analisis luaran sosiologi, fenomena ini adalah satu teknik modifikasi tingkah laku melalui simbolisme budaya.
Mohd. Kazim bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan dua dunia yang sering dianggap bertentangan iaitu dunia permotoran yang sering dikaitkan dengan pelbagai stigma negatif dan dunia keagamaan yang dianggap skema.
Dengan menonjolkan jentera-jentera yang mempunyai nilai estetik dan sejarah yang tinggi dalam dunia permotoran, beliau berjaya mengalihkan perhatian massa untuk memeriahkan majlis agama seterusnya mengubah persepsi masyarakat terhadap minat anak muda.
Strategi ini membuktikan dakwah yang berkesan perlu bersifat dinamik dan peka terhadap perubahan budaya masyarakat.
Penggunaan ikon permotoran sebagai medium dakwah bukan sahaja berjaya meramaikan majlis ilmu tetapi merupakan langkah antropologi yang bijak dalam menyantuni fitnah akhir zaman.
Usaha ini seharusnya dipandang sebagai satu model sosiodakwah yang mampu membentuk jati diri anak muda melalui pendekatan yang lebih inklusif dan tidak terasing daripada realiti kehidupan mereka. –UTUSAN
MOHAMAD AZRUL MOHD. SHUKRI
Mahasiswa Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia










