Benarkah biodiesel mampu gantikan penggunaan diesel?

Benarkah biodiesel mampu gantikan penggunaan diesel?

DALAM pasaran tenaga yang kompetitif, biodiesel perlu menawarkan keseimbangan antara harga, prestasi dan kebolehpercayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN pembangunan 19 loji biodiesel dengan kapasiti sekitar 1.5 juta liter sebulan menandakan kesungguhan Malaysia memperkukuh agenda tenaga rendah karbon.

Kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia turut menjadikan biodiesel pilihan strategik dari sudut sumber tempatan.

Dalam konteks ini, biodiesel lebih wajar difahami sebagai bahan api pelengkap dalam fasa peralihan tenaga, bukannya pengganti mutlak kepada diesel dalam jangka masa terdekat.

Peralihan kepada sumber bahan mentah lestari menjadi syarat penting. Penggunaan sisa industri seperti minyak masak terpakai, sisa pemprosesan sawit dan bahan buangan lain bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber baharu, malah menyokong pendekatan ekonomi kitaran.

Walau bagaimanapun, realiti semasa menunjukkan bahawa industri biodiesel Malaysia masih banyak berasaskan sumber sawit. Oleh itu, penggunaan sisa industri perlu diperkasa sebagai hala tuju strategik yang progresif, bukan dianggap sebagai keadaan semasa yang telah matang.

Kecekapan teknologi dan struktur kos merupakan faktor penentu kepada daya tahan industri biodiesel. Dalam pasaran tenaga yang kompetitif, biodiesel perlu menawarkan keseimbangan antara harga, prestasi dan kebolehpercayaan.

Oleh itu, pelaburan dalam teknologi pemprosesan yang lebih cekap, pengoptimuman rantaian bekalan serta inovasi dalam penggunaan bahan mentah menjadi keutamaan bagi memastikan biodiesel mampu berdiri sebagai pilihan yang kompetitif.

Pelaksanaan campuran biodiesel seperti B10 telah menunjukkan penerimaan yang baik di peringkat nasional. Namun, peningkatan kepada tahap lebih tinggi seperti B15 atau B20 menuntut perhatian terhadap keserasian enjin, sistem bahan api dan keperluan penyelenggaraan.

Secara umum, enjin diesel moden mampu menerima campuran rendah tanpa isu besar, tetapi campuran lebih tinggi boleh memberi implikasi tertentu bergantung kepada spesifikasi pengeluar kenderaan dan piawaian bahan api yang digunakan.

Sifat biodiesel yang lebih mudah teroksida serta kecenderungan menyerap kelembapan menuntut pengurusan penyimpanan dan penyelenggaraan yang lebih teliti.

Tanpa kejelasan teknikal dan komunikasi risiko yang beretika, keyakinan pengguna boleh terjejas dan seterusnya mempengaruhi kadar penerimaan di lapangan.

Dalam konteks ini, peranan dasar dan tadbir urus menjadi amat penting. Kerajaan perlu memastikan pembangunan industri biodiesel disokong oleh rangka kerja yang berasaskan bukti, telus dan berintegriti.

Ini termasuk penetapan kriteria bahan mentah lestari, galakan penggunaan sumber sisa, pemantauan rantaian bekalan serta keperluan pelaporan impak alam sekitar yang berasaskan analisis saintifik.

Secara keseluruhan, biodiesel tidak wajar dilihat sebagai penyelesaian tunggal kepada cabaran tenaga negara. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada strategi peralihan yang lebih luas ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Biodiesel Malaysia berpotensi untuk menjambatani aspirasi lestari dan realiti industri, tetapi hanya jika tiga prasyarat utama dipenuhi.

Pertama, peralihan berperingkat kepada sumber bahan mentah yang benar-benar lestari, khususnya berasaskan sisa industri.

Kedua, peningkatan kecekapan teknologi dan struktur kos agar industri kekal kompetitif tanpa kebergantungan berlebihan kepada insentif.

Ketiga, pelaksanaan penilaian impak menyeluruh melalui analisis kitar hayat yang disokong oleh dasar yang telus dan berasaskan bukti.

Tanpa ketiga-tiga elemen ini, biodiesel berisiko kekal sebagai simbol komitmen hijau yang baik pada peringkat dasar, tetapi belum sepenuhnya kukuh dalam realiti pelaksanaan. – UTUSAN

DR. NAZRIZAWATI AHMAD TAJUDDIN & FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran
Fakulti Sains Gunaan UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN