ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengambil maklum pandangan yang disuarakan menerusi artikel bertajuk Lantik pegawai kanan ATM ikut merit yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 9 Mei 2026 dan menghargai keprihatinan berterusan veteran terhadap hal ehwal institusi pertahanan negara.
ATM ingin menegaskan bahawa setiap pelantikan Pegawai Kanan ATM dilaksanakan secara profesional, berteraskan meritokrasi serta mengambil kira keperluan strategik organisasi secara menyeluruh. Proses penilaian turut mengambil kira rekod kepimpinan, integriti, pengalaman operasi, kompetensi, kelayakan profesional, kesesuaian jawatan serta keperluan perkhidmatan semasa.
Bagi jawatan tertentu yang bersifat kritikal dan strategik, faktor Subject Matter Expert (SME) turut menjadi pertimbangan utama termasuk pengalaman penugasan bersama antara perkhidmatan, pendedahan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa serta keupayaan mengurus kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh.
Sehubungan itu, pelantikan Pegawai Kanan ATM tidak dinilai semata-mata berdasarkan Kor, Cabang atau Perkhidmatan asal seseorang Pegawai Kanan. Pembentukan kepimpinan kanan dalam ATM merupakan hasil daripada kombinasi pengalaman pemerintahan, operasi, kursus profesional ketenteraan, pengurusan strategik, penugasan bersama serta pendedahan antarabangsa yang secara kolektif menjadi asas utama dalam menentukan kesesuaian seseorang Pegawai Kanan untuk memegang jawatan strategik.
ATM percaya setiap pandangan yang dikemukakan adalah berlandaskan keprihatinan terhadap institusi pertahanan negara. Dalam masa yang sama, setiap keputusan pelantikan turut mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik dan keperluan perkhidmatan yang tidak semuanya dapat dihuraikan secara terbuka atas faktor sensitiviti organisasi dan keselamatan.
ATM turut menegaskan bahawa setiap keputusan pelantikan dilaksanakan melalui lunas perundangan, proses dalaman yang tersusun, teliti dan berlandaskan kepentingan institusi, kesinambungan pemerintahan serta keyakinan terhadap keupayaan dan kredibiliti Pegawai Kanan yang dipertimbangkan.
Kementerian Pertahanan dan ATM kekal komited memastikan setiap pelantikan Pegawai Kanan dilaksanakan secara profesional, telus dan berasaskan merit, integriti, kompetensi serta kepentingan strategik organisasi demi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa, profesional, dihormati serta terus diyakini rakyat dan negara. -UTUSAN
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
BAHAGIAN RISIKAN DAN KOMUNIKASI STRATEGIK PERTAHANAN










