KEUPAYAAN sesebuah negara untuk menjamin bekalan tenaga yang stabil dalam situasi krisis adalah penentu kepada kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Justeru, langkah memperkukuh sumber tenaga alternatif bukan lagi pilihan tambahan tetapi keperluan strategik yang mendesak.
Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang kukuh untuk memacu peralihan ini melalui kekuatan penyelidikan tempatan dan sumber biojisim yang melimpah. Pendekatan ekonomi kitaran membuka ruang baharu dalam memanfaatkan sisa industri sebagai sumber tenaga bernilai tinggi. Minyak masak terpakai, sebagai contoh, telah dikenal pasti sebagai sumber yang matang untuk diproses menjadi biodiesel dan bahan api penerbangan mampan.
Pada masa sama, sumber bukan makanan seperti minyak biji getah, minyak kastor dan tanaman tenaga lain berpotensi besar untuk dibangunkan tanpa menjejaskan keselamatan makanan negara.
Sisa industri sawit pula, termasuk tandan kosong dan enapcemar kilang, kini tidak lagi dianggap sebagai bahan buangan semata-mata. Melalui teknologi seperti pirolisis dan pemprosesan biokimia, bahan ini boleh ditukar kepada minyak bio dan sumber tenaga alternatif yang berdaya guna.
Malah, kemajuan dalam teknologi mikroalga dan penukaran sisa plastik kepada minyak sintetik menunjukkan inovasi tenaga masa hadapan bukan lagi sekadar konsep teori tetapi semakin menghampiri realiti aplikasi industri.
Walau bagaimanapun, peralihan kepada tenaga hijau bukanlah suatu proses yang mudah atau segera. Cabaran utama masih berkisar pada kos pengeluaran, kebolehskalaan teknologi serta pematuhan kepada piawaian teknikal yang ketat.
Bahan api alternatif memerlukan proses penulenan yang kompleks bagi memastikan keserasian dengan enjin moden tanpa menjejaskan prestasi dan keselamatan. Dalam masa sama, infrastruktur sedia ada masih belum sepenuhnya bersedia untuk menyokong penggunaan meluas bahan api jenis ini.
Namun, sejarah perkembangan teknologi menunjukkan kos akan menurun apabila skala pengeluaran meningkat dan inovasi terus berkembang. Oleh itu, pendekatan yang paling realistik bagi Malaysia bukanlah menggantikan petroleum secara drastik tetapi melaksanakan peralihan secara berperingkat.
Penggunaan bahan api hijau sebagai campuran dalam diesel sedia ada atau memfokuskan penggunaannya kepada sektor tertentu seperti pengangkutan awam dan jentera pertanian merupakan langkah permulaan yang lebih pragmatik. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko, malah memberi ruang kepada industri tempatan untuk mencapai tahap kematangan teknologi yang diperlukan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin kompleks, Malaysia tidak boleh terus berada dalam zon selesa hanya kerana krisis besar belum berlaku di dalam negara. Ketahanan tenaga yang sebenar tidak diukur melalui kestabilan semasa tetapi melalui tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi kemungkinan terburuk.
Krisis di laluan strategik seperti Selat Hormuz seharusnya dilihat sebagai amaran awal yang memberi ruang kepada negara untuk bertindak sebelum keadaan menjadi lebih mendesak.
Persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia mampu beralih kepada tenaga hijau tetapi sama ada kita bersedia untuk membuat keputusan berani dalam memastikan masa hadapan tenaga negara kekal terjamin.
Dalam landskap global yang sentiasa berubah, negara yang bertindak lebih awal akan menentukan hala tujunya sendiri, manakala yang terus menunggu hanya akan dipaksa mengikut arus krisis yang tidak menentu.-UTUSAN
DR. NAZRIZAWATI AHMAD TAJUDDIN & FAIRUS MUHAMAD DARUS
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










