Perkukuh strategi fiskal hadapi krisis globa

Perkukuh strategi fiskal hadapi krisis global

KERAJAAN mengambil pendekatan fiskal strategik bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGANGAN geopolitik yang memuncak di Asia Barat susulan konflik ketenteraan antara Iran dan Israel, dengan penglibatan Amerika Syarikat (AS), kini memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya melalui gangguan bekalan tenaga di Selat Hormuz.

Selat strategik itu, yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia, kini berdepan sekatan hampir sepenuhnya oleh Iran sejak tercetusnya konflik pada 28 Februari lalu. Sekatan tersebut menjejaskan laluan kapal dagang, khususnya dari negara yang dianggap musuh, sekali gus mengganggu rantaian bekalan global.

Negara-negara Asia dilaporkan paling terkesan kerana bergantung kepada laluan ini untuk lebih 80 peratus import minyak mentah mereka. Selain sektor tenaga, krisis ini turut menjejaskan keselamatan makanan global apabila kira-kira 30 peratus bekalan baja dunia terputus pada kemuncak musim penanaman.

Beberapa negara Asia telah mengambil langkah segera bagi mengurangkan impak krisis. Di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan Kecemasan Tenaga Nasional pada 24 Mac lalu serta memendekkan minggu bekerja sektor kerajaan.

Thailand dan Vietnam pula menggalakkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam. 

Thailand turut melaksanakan pelan kecemasan tujuh perkara termasuk bantuan tunai 100 baht serta subsidi baja melalui program ‘Bendera Hijau’, manakala Vietnam menurunkan cukai perlindungan alam sekitar bagi bahan api kepada sifar.

Indonesia mengurangkan minggu bekerja kepada empat hari, Pakistan menutup sekolah selama dua minggu, manakala Sri Lanka menetapkan setiap hari Rabu sebagai cuti umum bagi menjimatkan penggunaan bahan api.

Di Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan fiskal strategik bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Harga petrol RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, namun had pembelian bulanan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter berkuat kuasa 1 April 2026.

Dalam masa sama, harga diesel di Semenanjung meningkat kepada RM5.52 seliter, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi melindungi kestabilan ekonomi wilayah tersebut. Bantuan tunai BUDI Diesel turut dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi mengurangkan beban rakyat.

Langkah penstrukturan subsidi ini, digabungkan dengan galakan kerja dari rumah, dilihat memberi manfaat berganda.

Dari sudut fiskal, ia membantu mengurangkan penggunaan bahan api secara berlebihan serta mengawal perbelanjaan kerajaan. Dari sudut alam sekitar, pengurangan kenderaan di jalan raya menyumbang kepada penurunan pelepasan gas rumah hijau dan kesesakan trafik.

Kerajaan juga digesa memperkukuh sistem pengangkutan awam termasuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan dan penyediaan perkhidmatan pengantara ke stesen tren, khususnya pada waktu puncak.

Selain itu, amalan perkongsian kenderaan serta pemberian insentif tambang boleh diperluas bagi pekerja yang tidak melaksanakan bekerja dari rumah.

Dalam jangka panjang, peluasan rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV), peningkatan pengeluaran biodiesel domestik serta pembangunan bahan api penerbangan lestari (SAF) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh daya tahan tenaga negara.

Dalam ketidaktentuan global ini, pendekatan seimbang antara disiplin fiskal, perlindungan sosial dan kelestarian alam sekitar menjadi kunci kepada ketahanan ekonomi Malaysia.-UTUSAN

 

DR. NITANAN KOSHY MATTHEW

Pensyarah Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, 

Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN