BERBANDING dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara, Malaysia sehingga kini masih mampu bertahan dalam berdepan sebarang kemungkinan akibat perang Asia Barat.
Dalam pada hampir 95 negara menaikkan harga petrol, Malaysia masih mampu mengekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter, antara yang terendah di dunia. Dengan kata lain, kesan langsung jangka pendek masih belum dirasai sepenuhnya.
Pasaran buruh negara masih kukuh dengan kadar pengangguran pada Januari 2026 kekal 2.9 peratus. Namun sebagai sebuah ekonomi terbuka yang dipacu oleh eksport, Malaysia tetap terdedah kepada krisis ekonomi dunia apabila berlaku gangguan ke atas saluran perdagangan, pelaburan dan harga minyak global dalam jangka masa panjang.
Kelebihan yang dimiliki Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih boleh membantu melindungi ekonomi dalam jangka masa pendek. Namun dalam jangka masa panjang, negara juga terdedah kepada krisis ekonomi ekoran daripada kenaikan harga minyak dunia kerana kita juga pengimport minyak.
Kenaikan harga minyak secara mendadak boleh menyebabkan kenaikan dalam kos pengeluaran di sektor pembuatan. Selain itu, gangguan ke atas rantaian bekalan global akibat perang juga akan menyebabkan kelewatan dalam penghantaran barangan menjadikan kos pengangkutan barangan menjadi lebih mahal.
Lonjakan premium insurans perang juga turut menyumbang kepada kenaikan mendadak kos pengangkutan.
Peningkatan kos operasi ini boleh menyebabkan berlakunya kenaikan dalam harga barangan yang seterusnya mengurangkan permintaan dalam pasaran. Sebagai langkah mengurangkan kerugian, syarikat-syarikat pengeluaran berkemungkinan besar mengurangkan saiz operasi mereka yang boleh memberi kesan langsung ke atas penggunaan tenaga buruh.
Malaysia sebagai pengeksport utama barangan elektrik dan elektronik (E&E) boleh menerima kesan daripada kenaikan kos pengeluaran. Sektor E&E adalah pemacu utama eksport negara dengan menyumbang 47.3 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.
Sektor pembuatan lain turut menyumbang kepada ekonomi negara dengan keseluruhan guna tenaga dalam sektor pembuatan mencecah hampir 2.4 juta pekerja. Sebarang ketidaktentuan dalam permintaan di sektor ini akan mempunyai impak besar ke atas pasaran buruh negara.
Kesan jangka panjang akibat kenaikan harga barangan dan pengurangan penggunaan tenaga buruh dalam pasaran boleh menjejaskan kuasa beli pengguna. Kesan rantaian akibat inflasi dan pendapatan tenaga buruh yang terjejas boleh memberi kesan terhadap permintaan pengguna dalam sektor-sektor lain seperti peruncitan, perkhidmatan dan pelancongan sekiranya perang ini berterusan untuk jangka masa panjang. Kemerosotan dalam permintaan boleh membawa kepada pengurangan tenaga buruh dalam sektor-sektor ini.
Kerajaan perlu memantau rapi perkembangan geopolitik dunia kerana ketidaktentuan global boleh memberi kesan langsung ke atas ekonomi dan pasaran buruh tempatan. Selain langkah-langkah penjimatan, kerajaan juga perlu fokus terhadap usaha memperkukuh daya tahan ekonomi perlu terus diberi perhatian.
Selain itu, sektor-sektor ekonomi dan pasaran baharu harus diteroka sebagai usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara. Kita harus bersiap-sedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang perang walaupun selepas perang ini tamat.
Penganalisis ekonomi antarabangsa meramalkan dunia mungkin perlu berhadapan dengan kemelesetan ekonomi ekoran daripada perang Asia Barat. –UTUSAN
PROFESOR DR. SUBRAMANIAM SRI RAMALU
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










