Mahasiswa perlu berjimat berdepan konflik Asia Barat

Mahasiswa perlu berjimat berdepan konflik Asia Barat

MAHASISWA perlu berjimat berdepan konflik Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA  umat Islam di Malaysia bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan, dunia luar terus bergolak dengan konflik geopolitik yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Iran dan Israel. Ketegangan yang semakin memuncak ini mungkin kelihatan jauh, namun kesannya mula dirasai hingga ke dalam kehidupan harian rakyat, termasuk warga universiti.

Di sebalik kemeriahan kunjung-mengunjung dan perkongsian rezeki, krisis di Asia Barat sebenarnya memberi tekanan tidak langsung kepada ekonomi negara. Konflik yang berlarutan mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global. 

Gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi nadi utama penghantaran minyak dunia, telah mendorong kenaikan harga minyak. Dalam dunia yang saling bergantung, kesan ini akhirnya sampai ke Malaysia melalui peningkatan kos rantaian bekalan.

Kenaikan harga bahan api mendorong peningkatan kos pengangkutan, makanan dan utiliti. Mahasiswa antara golongan yang mula merasai tekanan ini apabila perbelanjaan harian semakin meningkat. Mereka terpaksa mengurus kos makanan, pengangkutan dan keperluan asas dengan lebih berhati-hati. 

Dalam keadaan tertentu, ada yang terpaksa mengorbankan keperluan lain demi menampung kos asas. Tekanan ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan kewangan, malah boleh mengganggu fokus akademik dan memberi kesan kepada kesihatan mental.

Jika situasi ini berterusan, institusi pengajian tinggi juga akan berdepan cabaran peningkatan kos operasi dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti. Justeru, semua pihak perlu meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ini.

Mahasiswa perlu mengamalkan disiplin kewangan yang lebih ketat. Mereka harus merancang perbelanjaan harian dengan menyediakan bajet bulanan yang realistik serta mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Amalan berjimat cermat seperti memasak sendiri, berkongsi kenderaan dan memanfaatkan kemudahan kampus secara optimum mampu mengurangkan beban kos. Pada masa sama, mereka digalakkan membina tabung simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil sebagai langkah perlindungan.

Selain itu, mahasiswa perlu lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan. Mereka harus menilai penggunaan kredit, pinjaman atau pembelian ansuran agar tidak menjerumus kepada beban hutang jangka panjang. Sikap berbelanja secara impulsif, terutama bagi perkara tidak penting, perlu dielakkan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Dalam masa sama, universiti perlu bertindak lebih proaktif dengan menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar. Institusi boleh menawarkan bantuan kewangan bersasar, program kebajikan seperti bantuan makanan serta peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan dan ekonomi gig. 

Universiti juga wajar meneroka pendekatan mampan seperti penggunaan sumber tempatan dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran.

Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar pusat ilmu tetapi perlu menjadi benteng daya tahan yang melahirkan generasi berpengetahuan, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran global. –UTUSAN

 

DR. SITI NURAIN MUHMAD

Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, 

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN