KUALA NERUS: Tiada kelibat wakil daripada UMNO hadir pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan di sini, sejak Khamis lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jemputan dihantar kepada semua wakil parti Melayu di negara ini, namun kehadiran adalah bergantung kepada kelapangan masing-masing.
Katanya, terdapat pihak yang tidak dapat menghadiri program berkenaan kerana bertembung dengan komitmen lain yang dijadualkan lebih awal.
“Semua wakil parti Melayu dalam negara telah dijemput, cuma terpulang kepada mereka sama ada dapat hadir atau sebaliknya. Ada yang memaklumkan tidak dapat hadir kerana bertembung dengan program parti masing-masing. Kita faham perkara itu.
“Mungkin tidak berkesempatan dalam program ini, kita boleh bertemu pada masa lain melalui pertemuan, perbincangan atau mesyuarat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, penganjuran ijtimak itu adalah program berkala yang diadakan bagi memperkukuh perpaduan ummah.
“Program ini diadakan dari semasa ke semasa dan kali ini merupakan penganjuran kali kelima, dengan Terengganu dipilih sebagai tuan rumah. Objektifnya adalah untuk memperkukuh kesatuan serta perpaduan dalam kalangan umat,” jelasnya.
Beliau berkata, acara kemuncak ijtimak tersebut berlangsung malam ini menerusi Pidato Penyatuan Ummah yang menghimpunkan pemimpin daripada pelbagai latar belakang.
Selain Ahmad Samsuri, antara pemimpin lain yang dijadual menyampaikan pidato ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa. – UTUSAN










