Kita perlu kerangka dasar dadah negara yang seimbang

Kita perlu kerangka dasar dadah negara yang seimbang

KES kemalangan yang melibatkan arwah Amirul Hafiz Omar memperlihatkan kemarahan awam cenderung mengalihkan fokus kepada tuntutan hukuman semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kes pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol, alasan ketidakwarasan tidak wajar mengurangkan liabiliti undang-undang. Keadilan kepada mangsa dan keluarga menuntut hukuman yang setimpal serta tegas.

Namun begitu, perdebatan awam sering terperangkap dalam dikotomi yang tidak tepat. Seolah-olah pendekatan kesihatan awam terhadap pengguna dadah bermaksud membela pelaku jenayah.

Hakikatnya, kedua-dua isu ini berbeza. Pengguna dadah yang bergelut dengan ketagihan perlu dibantu melalui rawatan, manakala mereka yang melakukan jenayah akibat pengaruh dadah mesti dihukum berdasarkan kesalahan yang dilakukan terhadap orang lain.

Perbezaan ini amat penting kerana dasar yang gagal membezakan kedua-duanya akan terus menghasilkan keberkesanan yang rendah.

Undang-undang sedia ada yang mengkriminalisasikan penggunaan dadah tanpa unsur kemudaratan kepada orang lain telah mewujudkan kitaran pemenjaraan berulang.

Ramai individu dipenjarakan semata-mata atas penggunaan peribadi, bukan kerana menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada masyarakat.

Kesan jangka panjang pendekatan ini jelas kelihatan. Sistem penjara menanggung beban berlebihan, rawatan pemulihan tidak mencukupi dan ramai bekas tahanan kembali ke kitaran yang sama tanpa pemulihan sebenar.

Dalam keadaan tertentu, ketiadaan intervensi kesihatan mental yang menyeluruh turut meningkatkan risiko masalah sosial lain seperti keganasan domestik dan jenayah harta benda.

Dalam konteks pemanduan di bawah pengaruh, kelemahan pencegahan menjadi lebih ketara.

Setiap kematian di jalan raya akibat dadah atau alkohol sebenarnya merupakan tragedi yang boleh dielakkan. Justeru, persoalan yang lebih penting bukan hanya bagaimana menghukum selepas kejadian tetapi bagaimana sistem gagal mencegahnya lebih awal.

Penguatkuasaan yang lebih konsisten dan kehadiran pihak berkuasa di lapangan mampu bertindak sebagai pencegah yang berkesan.

Tumpuan terhadap hukuman semata-mata mengabaikan kepentingan pencegahan dalam keseluruhan ekosistem keselamatan jalan raya.

Kesalahan seperti memandu laju di kawasan perumahan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengabaikan peraturan asas keselamatan perlu ditangani secara lebih serius bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Dalam masa sama, cadangan seperti pengharaman total alkohol perlu dinilai secara berhati-hati. Pengalaman global menunjukkan bahawa pengharaman tidak menghapuskan penggunaan, sebaliknya mendorongnya ke pasaran gelap yang lebih berisiko.

Ketiadaan kawalan juga meningkatkan bahaya kepada pengguna kerana tiada jaminan keselamatan produk serta penguatkuasaan yang sukar dilaksanakan.

Oleh itu, Malaysia memerlukan kerangka dasar dadah yang lebih seimbang dan berasaskan bukti. Tiga elemen utama perlu digerakkan secara serentak, iaitu akauntabiliti undang-undang, rawatan kesihatan yang berkesan serta pencegahan sistemik yang menyeluruh.

Hukuman kekal penting untuk keadilan, namun tidak mencukupi tanpa rawatan dan pencegahan yang kukuh.

Akhirnya, kemarahan masyarakat terhadap tragedi yang berlaku adalah sesuatu yang wajar dan difahami. Namun, kemarahan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih konstruktif, bukan sekadar tuntutan hukuman yang lebih keras.

Masyarakat perlu mendesak penambahbaikan sistem rawatan, reformasi dasar berasaskan bukti serta penguatkuasaan yang benar-benar mencegah tragedi sebelum ia berlaku.

Jika tidak, kita hanya akan terus mengulang kitaran yang sama iaitu bertindak selepas tragedi, bukannya mencegahnya daripada berlaku. – UTUSAN

DR. NUR AFIQAH MOHD. SALLEH
Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan
Kemasyarakatan dan Pencegahan,
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN