APABILA harga minyak mentah melonjak melebihi AS$100 (RM396.39) setong, kesannya turut dirasai di Malaysia melalui peningkatan harga bahan api, termasuk diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter di Semenanjung Malaysia.
Kenaikan harga diesel secara langsung meningkatkan tekanan fiskal kerajaan dan mengehadkan ruang untuk perbelanjaan pembangunan lain seperti pendidikan dan kesihatan.
Dalam sektor pertanian dan perikanan, penggunaan diesel yang tinggi bagi jentera dan bot nelayan menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil, malah ada pengusaha kecil terpaksa mengurangkan operasi.
Dalam konteks makroekonomi pula, kenaikan harga diesel menyumbang kepada tekanan inflasi negara. Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia sering menunjukkan peningkatan selari dengan kenaikan kos bahan api, khususnya dalam kategori makanan dan pengangkutan.
Sektor industri seperti pembinaan dan pembuatan turut terkesan kerana bergantung kepada diesel untuk operasi mesin dan pengangkutan bahan mentah. Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan daya saing industri tempatan di peringkat global.
Dari perspektif sosial, kenaikan diesel memberi kesan tidak seimbang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40). Golongan ini membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk keperluan asas dan sebarang kenaikan harga barangan memberi impak yang lebih besar kepada mereka.
Kajian menunjukkan kos pengangkutan boleh merangkumi sehingga 30 peratus perbelanjaan bulanan bagi isi rumah luar bandar yang sangat bergantung kepada kenderaan diesel.
Namun demikian, Malaysia sebenarnya berada dalam kedudukan kukuh untuk mengurangkan kebergantungan diesel petroleum melalui pemerkasaan biodiesel.
Sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia, Malaysia menyumbang hampir 25 hingga 30 peratus pengeluaran minyak sawit global. Ini memberikan kelebihan besar dalam pembangunan biodiesel berasaskan sawit.
Inisiatif seperti penggunaan campuran biodiesel B10 dan B20 diperkenalkan, namun pelaksanaannya masih boleh dipertingkatkan, khususnya dalam sektor pengangkutan berat dan logistik yang menyumbang penggunaan diesel tertinggi.
Dalam konteks ketidaktentuan harga global, biodiesel menjadi keperluan strategik bagi memastikan keselamatan tenaga negara.
Biodiesel menawarkan beberapa kelebihan utama. Dari sudut alam sekitar, ia mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 70 peratus berbanding diesel petroleum.
Dari perspektif ekonomi, ia mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api yang mencecah berbilion ringgit setiap tahun, di samping memberi nilai tambah kepada sektor perladangan tempatan. Ini seterusnya menyokong pembangunan ekonomi lebih mampan dan inklusif.
Lebih penting, kemajuan dalam teknologi biofuel generasi baharu membuka potensi penghasilan bahan api berkualiti tinggi daripada sumber bukan makanan.
Kajian semasa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menunjukkan teknologi seperti nyahoksigen bermangkin berupaya meningkatkan kualiti biofuel agar setanding dengan diesel petroleum dari segi prestasi, sambil mengekalkan ciri mesra alam.
Kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan dasar berkaitan penggunaan biodiesel dalam sektor industri dan logistik.
Pada masa sama, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan perlu diperkukuh bagi memastikan teknologi yang dibangunkan lebih cekap, kos efektif, dan berdaya saing di peringkat global. –UTUSAN
DR. SYAZWANI MAHMAD PUZI
Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










