Pembenihan awan di Perlis, Kedah berjaya

Pembenihan awan di Perlis, Kedah berjaya

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Operasi pembenihan awan (OPA) terus menunjukkan kejayaan apabila data daripada stesen cerapan dan sistem MyRAE MET Malaysia menunjukkan taburan hujan signifikan di dua negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor keberkesanan operasi turut disokong oleh kandungan kelembapan atmosfera yang tinggi serta keadaan atmosfera yang tidak stabil.

“Data di Perlis menunjukkan taburan hujan antara 10 milimeter (mm) hingga 45 mm dari 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah mencatatkan antara 6 mm hingga 57.4 mm dari 7 hingga 10 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelaksanaan OPA dalam kondisi atmosfera yang sesuai adalah sangat efektif dalam menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan OPA akan menyasarkan kawasan tadahan Empangan Muda, Pedu dan Ahning di Kedah dan Empangan Timah Tasoh di Perlis dengan menggunakan teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara dengan menggunakan pesawat C130-Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Operasi itu memberi fokus kepada 11 empangan utama dalam kategori waspada, amaran dan kritikal melibatkan tiga negeri di utara membabitkan Perak, Kedah dan Perlis, serta satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Johor bermula 6 hingga 8 April.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, OPA akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak.

Beliau berkata, usaha bersepadu seperti itu membuktikan bahawa kesiapsiagaan, tindakan berasaskan sains dan ikhtiar berterusan mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca.

“Kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan proaktif sebegini demi menjamin keselamatan bekalan air, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan sektor pertanian negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini