Kita bina mesin hebat tapi lupa bina manusia

Kita bina mesin hebat tapi lupa bina manusia

PASARAN kerja kini tidak lagi memerlukan pekerja melakukan tugas rutin seperti mesin, sebaliknya mencari individu yang mampu mengurus ketidakpastian, menyelesaikan konflik interpersonal dan memiliki nilai etika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA  hari ini menyaksikan obsesi kolektif terhadap kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang hampir mencapai tahap histeria digital. 

Di Malaysia, perbincangan di bilik mesyuarat korporat mahupun di koridor kementerian sering berkisar tentang keperluan melahirkan lebih ramai jurutera perisian, pakar data dan saintis robotik. Namun di sebalik keghairahan mengejar literasi teknologi ini, wujud kelompangan besar yang jarang disentuh secara kritikal iaitu pengabaian terhadap kemahiran teras.

Ironinya, semakin canggih teknologi yang dicipta, semakin penting sifat kemanusiaan dalam kalangan pekerja. 

Kita sering terperangkap dalam tanggapan kemahiran teknikal menjadi penentu tunggal kejayaan ekonomi. Hakikat yang lebih pahit ialah kemahiran teknikal mempunyai jangka hayat yang semakin pendek. 

Ini kerana teknologi terkini hari ini boleh menjadi usang dalam tempoh 24 bulan. Sebaliknya, keupayaan kognitif dan sosial dalam Standard Kompetensi Kebangsaan (NCS), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia merupakan pelaburan jangka panjang yang tidak mengalami susut nilai.

Kita perlu meneliti data dengan lebih jujur. Laporan Masa Depan Pekerjaan 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan walaupun teknologi memacu perubahan, namun empat kemahiran teratas yang paling dikehendaki majikan global ialah pemikiran analitikal, pemikiran kreatif, daya tahan dan fleksibiliti. Semua ini merupakan komponen utama kemahiran teras.

Di Malaysia, kita menghadapi paradoks yang membimbangkan. Setiap tahun institusi pengajian melahirkan ribuan graduan cemerlang dalam bidang teknikal, namun kadar pengangguran siswazah terus menjadi isu berulang. 

Ini kerana pasaran kerja tidak lagi mencari mesin manusia yang hanya melaksanakan tugasan rutin sebaliknya majikan memerlukan individu yang mampu mengurus kekaburan, menyelesaikan konflik interpersonal serta mempunyai kompas etika yang teguh.

Kegagalan mengarusperdanakan kemahiran teras sebagai tunjang latihan kemahiran akan menyebabkan tenaga kerja hanya menjadi kuli digital kepada syarikat teknologi global. Tanpa kemahiran pengurusan strategik dan pemikiran kritikal, kita sekadar menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta nilai.

Antara kesilapan terbesar dalam modul latihan ialah menganggap komunikasi sebagai kemahiran sampingan yang boleh dipelajari secara semula jadi. Situasi ini klise berbahaya. Dalam ekonomi moden, komunikasi menjadi infrastruktur sosial yang menentukan kelangsungan organisasi. 

Data Project Management Institute (PMI) menunjukkan komunikasi lemah menyumbang kegagalan satu daripada tiga projek global. 

Dalam pasukan rentas sempadan, kegagalan menyampaikan idea secara koheren bukan sekadar bahasa tetapi strategi. Pekerja hebat secara teknikal tetapi gagal meyakinkan pihak berkepentingan menjadi liabiliti syarikat.

Kita perlu beralih daripada komunikasi asas kepada komunikasi berimpak tinggi. Ini melibatkan keupayaan menterjemah data kompleks kepada naratif mudah difahami pembuat keputusan. Inilah yang membezakan operator teknikal dengan pemimpin strategik.

Sering kali modul etika dianggap ceramah moral membosankan. Etika ialah pengurusan risiko paling kritikal dalam ekonomi digital yang telus. Kita melihat syarikat gergasi tumbang bukan kerana kekurangan inovasi tetapi kerana keruntuhan integriti. 

Di Malaysia, pengurusan etika dalam kemahiran teras perlu menjadi mekanisme perlindungan nilai negara. Apabila pekerja memahami tanggungjawab etika, mereka bukan hanya mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi menjaga ekosistem organisasi. 

Integriti bukan sekadar tidak mencuri tetapi akauntabiliti terhadap keputusan yang memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar.

Dalam dunia yang didominasi skrin dan algoritma, sentuhan manusia menjadi komoditi mahal. Kemahiran interpersonal bukan sekadar peramah tetapi keupayaan membaca dinamika organisasi, empati ketika krisis dan membina kepercayaan dalam pasukan. 

Kajian Google melalui Project Aristotle mendapati faktor utama keberkesanan pasukan bukan IQ, tetapi keselamatan psikologi. Budaya kerja hierarki memerlukan suntikan kemahiran teras untuk komunikasi dua hala yang matang dan profesional.

Kita perlu membetulkan salah faham bahawa literasi teknologi hanya berkait media sosial. Sebenarnya ia merangkumi keupayaan menilai maklumat, memahami keselamatan siber dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab. 

Dalam era AI generatif, kebijaksanaan digital untuk menilai output secara kritikal menjadi kemahiran utama masa hadapan. –UTUSAN

 

NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD FOZI HAFIZ HASSAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan & Institut Kemahiran Belia Negara, Pekan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN