Elak belia terjerat radikalisasi digital

Elak belia terjerat radikalisasi digital

RUANG siber menjadi medan baharu penyebaran ekstremisme.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAHANAN beberapa suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Februari lalu mencetuskan kebimbangan serius, sekali gus memperlihatkan proses radikalisasi kini semakin menyesatkan golongan remaja dan belia melalui ruang digital. 

Golongan ini berada dalam fasa pembentukan identiti dan pemikiran, menjadikan mereka lebih mudah terdedah serta terpengaruh dengan naratif ideologi pelampau keganasan.

Persoalan utama yang timbul ialah bagaimana golongan belia boleh terjerat dalam jaringan ekstremisme ini. Lebih membimbangkan, proses radikalisasi tidak lagi berlaku secara tersembunyi di lokasi terpencil, sebaliknya berkembang secara meluas dalam ruang digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian generasi muda.

Perkembangan di Malaysia ini sejajar dengan trend global. Jika sebelum ini kumpulan pengganas bergantung kepada rangkaian bersemuka dan organisasi tersusun untuk merekrut ahli, kini proses tersebut beralih ke ruang siber melalui media sosial, aplikasi pemesejan serta pelbagai platform komuniti digital. 

Tahap penggunaan teknologi yang tinggi dalam kalangan belia menjadikan mereka lebih terdedah kepada kandungan propaganda dalam talian.

Dalam masa sama, persekitaran digital turut menyumbang kepada peningkatan fenomena radikalisasi yang menjurus kepada pelaku tunggal (one wolf).

Beberapa insiden keganasan di peringkat antarabangsa menunjukkan individu muda boleh bertindak tanpa hubungan langsung dengan organisasi pengganas tetapi dipengaruhi sepenuhnya oleh naratif dalam talian.

Selain faktor digital, dimensi sosial juga tidak boleh diabaikan. Beberapa pemerhati keselamatan berpendapat kekurangan ruang sosial yang sihat dan konstruktif untuk belia boleh meningkatkan kerentanan terhadap pengaruh negatif.  

Apabila interaksi bersemuka melalui aktiviti komuniti, sukan atau kesukarelawanan semakin berkurangan, menyebabkan sebahagian belia akan mencari alternatif dalam komuniti digital untuk membina identiti dan rasa kebersamaan. Malangnya, ruang ini tidak semestinya selamat.

Sebagai contoh, komuniti permainan dalam talian dan forum digital kadangkala disalahgunakan untuk menyebarkan propaganda pelampau secara halus. Kandungan yang bermula sebagai gurauan, meme atau hiburan boleh berkembang secara berperingkat menjadi naratif kebencian yang memecah-belahkan dan akhirnya menjurus kepada elemen keganasan.

Namun demikian, perlu ditegaskan  majoriti belia menggunakan teknologi digital secara positif dan bertanggungjawab. Sistem pendidikan negara melahirkan generasi muda yang melihat teknologi sebagai pemangkin kepada pembelajaran, inovasi dan pembangunan bakat.

Justeru, usaha menangani radikalisasi tidak boleh bergantung kepada pendekatan penguatkuasaan semata-mata. Kaedah yang lebih menyeluruh diperlukan, termasuk memperkukuh literasi digital, meningkatkan kesedaran keselamatan siber serta membina daya tahan masyarakat terhadap pengaruh ekstremisme.

Dalam konteks ini, pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat amat penting. Isu radikalisasi belia dalam talian merentasi pelbagai bidang dan mandat, sekali gus memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil, industri teknologi serta komuniti belia. 

Dialog berterusan dan perkongsian kepakaran dapat memastikan ruang digital kekal selamat dan berdaya tahan.

Pendekatan ini selaras dengan Teras Pencegahan dalam Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan 2024–2028 (MyPCVE), yang menekankan kepekaan, perkongsian pintar dan kolaborasi strategik. 

Gabungan ini penting bagi memperkukuh intervensi awal yang bukan sahaja melibatkan pihak berwajib tetapi juga masyarakat yang peka terhadap persekitaran mereka.

Akhirnya, dalam era digital yang serba terbuka, cabaran sebenar bukan sekadar mengawal teknologi tetapi memastikan generasi muda tidak terperangkap dalam naratif kebencian yang tersembunyi di sebalik skrin. 

Jika ruang siber menjadi medan baharu penyebaran ekstremisme, maka makna ketahanan digital belia harus menjadi benteng utama dalam memastikan keharmonian dan keselamatan negara terus terpelihara.-UTUSAN

 

KENNIMROD SARIBURAJA & NURUL HIDAYAH MOHD NOAR

Pengarah dan Pegawai Penyelidik,

Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan,

Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT),

Kementerian Luar Negeri

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN