Hukuman maksimum pada pemandu mabuk, positif dadah

Hukuman maksimum pada pemandu mabuk, positif dadah

TINDAKAN tegas bukan sahaja wajar dikenakan kepada pemandu mabuk, malah turut melibatkan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA lagi ruang untuk kompromi bagi pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Kesalahan ini harus diklasifikasikan sebagai jenayah berat yang memerlukan hukuman maksimum.

Tindakan tegas bukan sahaja wajar dikenakan kepada pemandu mabuk, malah turut melibatkan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau bahan terlarang lain kerana kedua-duanya membawa risiko yang sama tinggi terhadap keselamatan awam.

Justeru, pendekatan undang-undang sedia ada perlu diperkukuh dengan pelaksanaan hukuman yang lebih menyeluruh, tegas dan berimpak. Antaranya termasuk :
– Pelaksanaan hukuman mandatori bagi kes kematian akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
– Penggantungan lesen serta-merta sejurus kes disabitkan.
– Senarai hitam pesalah daripada memohon lesen baharu dalam tempoh jangka panjang atau seumur hidup.
– Kewajipan menghadiri program pemulihan dan pendidikan keselamatan jalan raya sebelum sebarang kelonggaran diberikan.

Selain itu, elemen pemulihan juga tidak boleh diabaikan. Pesalah wajar diwajibkan mengikuti program pendidikan keselamatan jalan raya dan pemulihan tingkah laku sebelum sebarang kelonggaran dipertimbangkan. Pendekatan ini bukan sahaja bersifat menghukum tetapi juga mendidik bagi mencegah kesalahan berulang.

Dalam masa sama, penguatkuasaan undang-undang perlu dipertingkatkan secara konsisten dan berteknologi tinggi. Operasi bersepadu, penggunaan alat pengesan alkohol dan dadah yang lebih canggih, serta pemantauan berterusan mampu meningkatkan keberkesanan pencegahan.

Namun, usaha ini tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata. Kesedaran awam perlu diperkasakan agar setiap individu memahami bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi merupakan pengkhianatan terhadap keselamatan orang lain.

Sebagai pemimpin belia, saya melihat peranan generasi muda amat penting dalam membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab.

Pendidikan, advokasi dan kesedaran perlu digerakkan secara berterusan agar nilai keselamatan menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian.

Akhirnya, mesej yang ingin ditegaskan adalah jelas, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Tiada toleransi dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang memilih untuk membahayakan nyawa orang lain.-UTUSAN

HASNUL HANIFF HARUN
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia & Pengerusi Biro Pendidikan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN