Cuaca terlalu panas untuk diabaikan

Cuaca terlalu panas untuk diabaikan

HABA yang semakin meningkat bukan sekadar isu cuaca tetapi tekanan yang sedang mengubah cara ekonomi berfungsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini sahaja, Kementerian Kesihatan melaporkan 15 kes berkaitan haba, termasuk strok haba dan satu kematian.

Lazimnya, peningkatan suhu dilihat sebagai isu kesihatan awam seperti dehidrasi, strok haba dan tekanan kepada sistem kesihatan. Semua ini benar, tetapi tidak mencukupi untuk menjelaskan gambaran sebenar.

Haba yang semakin meningkat bukan sekadar isu cuaca tetapi tekanan yang sedang mengubah cara ekonomi berfungsi, memperluas jurang sosial dan mencabar keupayaan tadbir urus negara.

Dalam sektor pekerjaan, kesannya sudah pun dirasai. Banyak industri di Malaysia masih bergantung kepada kerja luar seperti pembinaan, pertanian, logistik dan sektor tidak formal.

Apabila suhu meningkat, produktiviti tidak menurun secara perlahan tetapi merosot dengan ketara selepas tahap tertentu ekroan pekerja terpaksa memperlahankan kerja, mengambil lebih banyak rehat atau jatuh sakit.

Dalam pendidikan pula, kesannya lebih halus tetapi tidak kurang serius. Kebimbangan telah disuarakan. Persekitaran bilik darjah yang panas menjejaskan tumpuan, ingatan dan keupayaan memahami pelajaran. Jika berlarutan, keadaan ini boleh memberi kesan kepada kualiti pendidikan dan daya saing negara pada masa hadapan.

Penyaman udara sering dilihat sebagai penyelesaian mudah. Namun, penggunaan tenaga yang meningkat untuk penyejukan akan terus bergantung kepada sumber tenaga sedia ada, yang sebahagiannya masih berasaskan bahan api fosil. Ini hanya mempercepatkan kitaran pemanasan yang sedang berlaku.

Tidak semua lapisan masyarakat mempunyai akses yang sama kepada penyejukan. Golongan berkemampuan boleh menyesuaikan diri dengan lebih mudah, manakala golongan kurang mampu terus terdedah kepada risiko. Dalam hal ini, perubahan iklim turut memperbesarkan jurang ketidaksamaan.
Justeru, apakah langkah yang perlu diambil?

Pertama, haba perlu diiktiraf sebagai risiko nasional yang serius. Perancangan bandar perlu memberi penekanan kepada pengurangan haba melalui penambahan kawasan hijau, penggunaan bahan binaan yang sesuai, serta reka bentuk bandar yang lebih sejuk dan lestari.

Kedua, perlindungan pekerja perlu diperkukuh. Garis panduan berkaitan keselamatan ketika cuaca panas seperti waktu rehat yang mencukupi, akses kepada air dan tempat teduh perlu dilaksanakan dengan lebih tegas.

Ketiga, kemudahan pendidikan perlu ditambah baik. Pendekatan penyejukan pasif seperti pengudaraan yang baik dan reka bentuk bangunan yang sesuai boleh membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa tanpa meningkatkan kos tenaga secara mendadak.

Keempat, usaha mempelbagaikan sumber tenaga perlu dipercepatkan. Tenaga solar, misalnya, mempunyai potensi besar untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga yang tidak menentu di peringkat global.

Kelima, kesedaran masyarakat perlu berubah. Cuaca panas tidak lagi boleh dianggap sebagai keadaan bermusim semata-mata. Penyesuaian gaya hidup seperti pengurusan waktu kerja dan penjagaan kesihatan diri perlu menjadi amalan biasa.

Krisis sebenar bukan sekadar Malaysia semakin panas. Krisis sebenar ialah apabila kita mula menganggap keadaan ini sebagai sesuatu yang normal.-UTUSAN

 

DR. MOGESH SABABATHY
Aktivis Alam Sekitar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN