Bersatu padu hadapi krisis ekonomi global

Bersatu padu hadapi krisis ekonomi global

KITA mampu mengharungi cabaran krisis ekonomi sekiranya bekerjasama, berjimat, berbelanja secara bijak dan saling membantu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG di Iran yang kini menggoncang ekonomi dunia bukan sekadar isu jauh, sebaliknya kesannya sudah mula dirasai melalui kenaikan harga minyak tidak bersubsidi.

Malaysia, sebagai negara yang bergantung perdagangan luar dan import bahan api, tidak dapat mengelak tempias krisis ini. Walaupun Malaysia mengeksport tenaga tetapi tetap mengimport bahan api untuk kegunaan domestik. Kita mungkin berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara tanpa komoditi minyak, namun hakikatnya tiada negara yang kebal apabila ekonomi global bergoncang.

Kerajaan telah berusaha memastikan subsidi RON95 dikekalkan agar rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia.

Ini bukan keputusan mudah dan memerlukan perbelanjaan besar. Kita juga sedar subsidi tidak mampu bertahan selamanya jika keadaan terus meruncing. Kerajaan mempunyai hadnya.

Justeru, inilah masanya rakyat turut memainkan peranan. Kita tidak berdepan situasi ini secara bersendirian. Negara lain juga bergelut dengan krisis sama, malah ada yang lebih teruk. Rakyat di negara tersebut menghadapi kenaikan harga melampau, bekalan terhad dan tekanan hidup yang lebih berat.

Dengan kesedaran ini, kita seharusnya lebih bersyukur dan bertanggungjawab.

Mulakan dari diri dan keluarga. Tanamkan rasa tanggungjawab bahawa setiap tindakan memberi kesan kepada isi rumah, jiran dan negara. Jimatkan penggunaan elektrik, padamkan lampu apabila tidak digunakan, tetapkan penghawa dingin pada suhu munasabah dan elakkan peralatan elektrik terus tersambung tanpa keperluan. Kurangkan pembaziran makanan, air dan sumber lain yang sering diambil ringan.

Didik anak-anak tentang nilai berjimat sejak awal. Ini bukan sekadar respons kepada krisis tetapi nilai hidup yang perlu diterapkan.

Bagi perjalanan harian, pertimbangkan penggunaan pengangkutan awam, berkongsi kenderaan atau merancang perjalanan dengan lebih efisien. Gunakan subsidi bahan api secara berhemah dan bertanggungjawab.

Pengurusan kewangan juga perlu diperkemaskan. Dalam keadaan ini, harga barang import berpotensi meningkat dan tekanan inflasi akan dirasai.

Setiap keluarga perlu menilai semula keutamaan, bezakan antara keperluan dan kehendak. Tambahkan simpanan jika mampu dan elakkan hutang berlebihan. Gaya hidup boros dalam keadaan ekonomi tidak menentu tidak wajar dipertahankan.

Kita juga perlu saling menyokong. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti kedai makan, peniaga kecil dan usahawan tempatan antara yang paling terkesan. Sokong perniagaan mereka, utamakan produk tempatan dan elakkan pembelian panik yang hanya memburukkan keadaan.

Krisis ini ibarat ribut di lautan. Kerajaan memegang kemudi tetapi kita semua adalah penumpang dalam kapal yang sama.

Tanggungjawab bermula daripada diri sendiri, berkembang kepada keluarga dan akhirnya menggerakkan negara. Kita mampu mengharungi cabaran krisis ekonomi sekiranya  bekerjasama, berjimat, berbelanja secara bijak dan saling membantu.

Rakyat Malaysia membuktikan ketahanan ketika krisis Covid-19. Dengan semangat yang sama, kita mampu menghadapi gelora ekonomi susulan krisis di Asia Barat. –UTUSAN

 

MOHD. HUSSAIN ISHAK

Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN