DALAM era digital, banyak tugasan pejabat boleh dilaksanakan tanpa kehadiran fizikal. Mesyuarat dalam talian, sistem pengurusan dokumen digital dan penggunaan platform kolaborasi menjadikan pejabat fizikal bukan lagi keperluan mutlak.
Namun, penjimatan tenaga di jalan raya mungkin diimbangi dengan peningkatan penggunaan tenaga di rumah. Penghawa dingin yang beroperasi sepanjang hari, komputer yang tidak dimatikan serta penggunaan internet berterusan, menyumbang peningkatan penggunaan elektrik isi rumah. Dalam keadaan harga tenaga global yang meningkat, bil elektrik menjadi beban yang perlu ditanggung.
Persoalan penting yang perlu ditanya ialah adakah kita benar-benar menjimatkan tenaga atau sekadar mengalihkannya? Jika pejabat menjimatkan elektrik tetapi rumah menggunakan lebih banyak tenaga, maka impak keseluruhan mungkin tidak sebesar yang disangka. Inilah dilema sebenar bekerja di rumah dalam konteks penjimatan tenaga.
Namun, ia tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian tunggal tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem kerja pintar yang lebih luas. Peranti pintar di rumah boleh mengawal penggunaan elektrik berdasarkan keperluan sebenar, manakala pejabat boleh mengurangkan operasi kepada hanya ruang yang benar-benar diperlukan.
Organisasi kini mula memikirkan model kerja hibrid yang menggabungkan kelebihan bekerja dari rumah dan kehadiran fizikal. Ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan tenaga tetapi meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja. Dalam jangka panjang, pendekatan ini berpotensi membentuk budaya kerja yang lebih lestari dan berdaya tahan.
Apa yang pasti, dunia tidak akan kembali kepada keadaan sebelum ini. Krisis tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik akan terus membentuk cara kita hidup dan bekerja.
Dalam landskap ini, bekerja dari rumah bukan lagi sekadar pilihan tetapi keperluan strategik. Namun, untuk memastikan ia benar-benar menyumbang penjimatan tenaga memerlukan kita mengubah cara berfikir termasuklah daripada sekadar bekerja dari rumah kepada bekerja secara bijak.
Mungkin, dalam krisis global yang dihadapi hari ini, jawapan sebenar bukan terletak pada teknologi semata-mata tetapi bagaimana kita menyesuaikan gaya hidup dan cara kerja dengan realiti baharu dunia.-UTUSAN
DR. RAJA MAYANG DELIMA MOHD BETA
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka










