FIKIRAN saya mengimbas satu demi satu drama yang pernah ditonton. Polanya hampir sama, kisah rumah tangga yang diganggu orang ketiga, kecurangan, hubungan terlarang dan pelbagai konflik moral yang berulang.
Persoalannya, adakah ini gambaran yang ingin kita tanam dalam minda masyarakat? Lebih membimbangkan, adakah tanpa kita sedari, sedang berlaku proses normalisasi bahawa curang, skandal dan hubungan luar nikah itu seolah-olah menjadi perkara biasa dalam masyarakat Melayu hari ini?
Benar, hampir setiap drama diakhiri dengan pengajaran. Watak jahat menerima balasan, kebenaran akhirnya terserlah. Namun realitinya, sepanjang 20 hingga 30 episod yang disiarkan setiap hari, hampir 80 hingga 90 peratus paparan adalah konflik negatif.
Pengajaran hanya muncul di penghujung cerita, sedangkan penonton telah “disuapkan” naratif yang sama berulang kali.
Di sinilah kita perlu melihat isu ini bukan sekadar hiburan, tetapi dari sudut pembentukan tingkah laku dan pemikiran masyarakat.
Ahli psikologi terkenal, Albert Bandura, menegaskan bahawa manusia belajar melalui pemerhatian dan cenderung meniru apa yang dilihat. Kajian beliau membuktikan bahawa tingkah laku boleh dibentuk tanpa pengalaman langsung, cukup dengan pendedahan berulang melalui persekitaran, termasuk media seperti televisyen.
Dalam konteks yang lebih luas, sarjana komunikasi George Gerbner pula menyatakan bahawa televisyen adalah “alat budaya utama” dalam masyarakat moden. Pendedahan jangka panjang kepada kandungan media tidak mengubah pemikiran secara drastik, tetapi membentuk persepsi realiti secara perlahan, konsisten dan tanpa disedari.
Jika melihat kepada demografi negara, daripada kira-kira 34 juta penduduk Malaysia, dianggarkan 19 juta adalah orang Melayu. Drama Melayu pula ditonton antara 3 hingga 5 juta penonton setiap hari, dengan majoritinya adalah Melayu.
Ini bermakna sebahagian besar masyarakat sedang terdedah secara berterusan kepada naratif yang hampir seragam, kisah kecurangan, konflik rumah tangga dan hubungan yang rapuh.
Ini bukan soal menolak sepenuhnya karya sebegini. Setiap karya tetap ada nilai dan pengajarannya. Namun persoalannya adalah keseimbangan. Apakah wajar jika sebahagian besar kandungan yang disajikan berkisar pada konflik moral yang sama, tanpa variasi yang membina?
Mengapa tidak diperbanyakkan karya yang mengangkat nilai kenegaraan, perpaduan, keusahawanan, jati diri dan kekuatan institusi keluarga? Mengapa tidak diselang-selikan dengan naratif yang membina minda dan menyuntik aspirasi?
Tidak dinafikan, industri drama bergerak berdasarkan popular demand. Namun dalam masa yang sama, media tidak boleh lari daripada tanggungjawab sosialnya.
Televisyen bukan sekadar alat hiburan, ia adalah instrumen paling berkesan dalam membentuk, malah meruntuhkan sesuatu masyarakat.
Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara tentang masyarakat Melayu yang berteraskan nilai Islam, soal pembentukan akhlak dan norma tidak boleh dipandang ringan.
Saya percaya, Malaysia tidak ketandusan bakat. Kita mempunyai penulis skrip, pengarah dan pelakon yang mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membina jiwa bangsa.
Persoalannya, apakah kita berani untuk beralih daripada sekadar memenuhi permintaan, kepada membentuk masa depan?
Kerana akhirnya, apa yang kita tonton hari ini, itulah yang akan menjadi cerminan masyarakat kita esok hari. – UTUSAN
AZMAN MOHD HASHIM










