Wajarkah perkenal PhD tanpa tesis?

Wajarkah perkenal PhD tanpa tesis?

KITA tidak boleh mengorbankan asas integriti dan kualiti akademik yang menjadi tunjang sistem pengajian tinggi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) mengambil maklum pengumuman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berhubung pelaksanaan inisiatif PhD by Product yang dijangka diperkenalkan bermula tahun ini.

Sebagai badan yang mewakili suara akademik universiti awam dan memperjuangkan standard kecemerlangan pendidikan tinggi negara, MAAC ingin menzahirkan kebimbangan serius terhadap implikasi dasar ini sekiranya ia dilaksanakan tanpa kerangka akademik yang jelas, telus dan berintegriti tinggi.

Pengiktirafan berdasarkan produk semata-mata, tanpa proses penyelidikan sistematik dan dokumentasi akademik yang setara dengan tesis, perlu diperhalusi bagi memastikan intipati falsafah dan standard ijazah PhD kekal utuh.

Tanpa garis panduan yang sangat terperinci dan standard nasional yang seragam, terdapat risiko konsistensi antara institusi, sekali gus menjejaskan kredibiliti sistem kelayakan negara.

Pengenalan model PhD by Product tanpa kawalan kualiti yang jitu berisiko menghantar isyarat salah kepada rakan strategik global dan badan akreditasi antarabangsa.

Sebarang persepsi bahawa Malaysia menyediakan ‘laluan pintas’ atau mengkomersialkan ijazah kedoktoran akan menjejaskan nilai ijazah tempatan secara sistemik, sekali gus merencatkan usaha menarik bakat antarabangsa terbaik ke negara ini.

MAAC menyokong penuh anjakan ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan mengiktiraf bahawa sumbangan industri adalah pemacu utama daya saing negara.

Namun, integrasi kecemerlangan industri ke dalam kerangka PhD mestilah memperkukuh bukan menggantikan ketegasan intelektual, bagi memastikan graduan kita bukan sahaja pakar teknikal, malah sarjana yang mampu menerajui penyelesaian global secara holistik.

Ramai inovator industri menghasilkan produk yang memberi impak besar kepada masyarakat. Namun demikian, pencapaian industri tidak semestinya setara dengan latihan penyelidikan doktor falsafah.

Inovasi dan impak industri amat penting dalam ekosistem pendidikan tinggi moden. Namun, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global, kita tidak boleh mengorbankan asas integriti dan kualiti akademik yang menjadi tunjang sistem pengajian tinggi negara.

PhD adalah simbol autoriti ilmiah tertinggi. Sebarang reformasi terhadap struktur tersebut mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ketelitian dan perundingan menyeluruh.

MAAC bersedia untuk duduk semeja dengan MQA bagi memastikan sebarang pembaharuan yang diperkenalkan benar-benar memperkukuh, bukan melemahkan martabat pendidikan tinggi Malaysia. – UTUSAN

KONGRES PERSATUAN AKADEMIK MALAYSIA (MAAC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN