Wajar iktiraf Solat Jumaat di surau sekolah asrama

Wajar iktiraf solat Jumaat di surau sekolah asrama

PENGIKTIRAFAN solat Jumaat di surau sekolah berasrama mengukuhkan imej sekolah sebagai pusat pembangunan sahsiah Islam. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH berasrama penuh, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), menghimpunkan ribuan pelajar lelaki Muslim yang wajib menunaikan solat Jumaat setiap minggu. Namun, membawa mereka ke masjid awam menimbulkan cabaran logistik, risiko keselamatan dan pembaziran sumber. 

Sudah tiba masanya Jabatan Agama Negeri memberi pengiktirafan rasmi kepada surau sekolah untuk melaksanakan solat Jumaat secara sah dan teratur.

Kebanyakan sekolah berasrama memiliki surau luas dengan kemudahan wuduk, pembesar suara dan ruang solat mampu memuatkan ratusan jemaah. Sekiranya solat Jumaat diadakan di surau sekolah, murid berada dalam persekitaran terkawal, guru dapat memantau disiplin dan risiko kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Ini juga menjimatkan kos sewaan bas dan minyak, yang sepatutnya boleh disalurkan untuk penambahbaikan pendidikan, program sahsiah dan kebajikan murid.

Pelaksanaan solat Jumaat di surau sekolah membuka peluang pendidikan praktikal. Murid boleh dilatih menjadi bilal, siak, pengurus kebersihan, penyusun saf dan petugas audio. 

Mereka belajar tanggungjawab, kepimpinan, disiplin dan khidmat masyarakat. Ini merupakan kemahiran yang membentuk generasi Muslim agar mampu mengurus masjid dan komuniti kelak. Bahkan, selari dengan falsafah pendidikan holistik yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh.

Isu kualiti khutbah dan kepimpinan imam tidak sepatutnya menghalang cadangan ini. Jabatan Agama Negeri boleh menugaskan imam bertauliah atau guru agama untuk memastikan solat dan khutbah memenuhi kehendak syarak. 

Kandungan khutbah juga boleh disesuaikan dengan realiti remaja, membincangkan akhlak, disiplin diri, cabaran digital dan tanggungjawab sebagai Muslim.

Dari perspektif fiqh, solat Jumaat tidak terikat kepada masjid kariah sahaja. Selagi bilangan jemaah mencukupi, imam sah dilantik dan tempat sesuai disediakan, maka sah dilaksanakan. 

Banyak institusi pendidikan tinggi dan negara Islam lain telah mengamalkan solat Jumaat di kampus dengan kelulusan pihak berkuasa agama.

Pengiktirafan solat Jumaat di surau sekolah berasrama mengukuhkan imej sekolah sebagai pusat pembangunan sahsiah Islam. Ia menunjukkan pendidikan akademik dan ibadah boleh berjalan seiring. Murid membesar memahami Islam sebagai sistem hidup teratur, bukan sekadar amalan peribadi.

Jabatan Agama Negeri perlu menilai isu ini melalui lensa maqasid syariah menjaga nyawa, harta, akal, agama dan keturunan. 

Langkah murni ini bukan sekadar pentadbiran tetapi demi masa hadapan ummah dan negara.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN