Setiap sen dividen, langkah menuju masa hadapan

 Setiap sen dividen, langkah menuju masa hadapan

WALAUPUN prestasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan, namun pencarum tidak boleh bergantung sepenuhnya pada dividen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen, jutaan pencarum menunggu dengan debar.

Bagi sesetengah orang, ia ganjaran tahunan tetapi bagi saya, seorang profesional yang hampir 25 tahun bekerja di New Zealand, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, dividen membawa makna yang lebih peribadi.

Pengalaman kerja antarabangsa mengajar simpanan persaraan bukanlah sesuatu yang automatik. Caruman domestik sering terhenti apabila melintasi sempadan, berbeza dengan rakan sebaya di Malaysia yang konsisten mencarum. Kini, setiap kadar dividen menjadi faktor penting dalam usaha ‘mengejar masa’ yang pernah berlalu.

Jangkaan dividen KWSP 2025 antara 6.3 hingga 6.5 peratus memberi kelegaan. Dalam ekonomi global yang tidak menentu, angka ini menunjukkan pengurusan dana yang disiplin dan berhati-hati. 

Prinsip pengurusan risiko, perancangan strategik dan kepelbagaian aset yang seimbang, sama seperti dalam dunia korporat global memastikan pertumbuhan berterusan walaupun pasaran bergelora.

Antara kekuatan KWSP ialah portfolio pelbagai. Ekuiti memberikan potensi pertumbuhan jangka panjang, sementara instrumen pendapatan tetap seperti bon dan sukuk menstabilkan dana ketika pasaran turun. 

Pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur pula menyediakan aliran tunai berulang dan nilai lebih stabil. Kepelbagaian geografi juga membantu mengurangkan risiko tertumpu kepada ekonomi domestik tetapi memerlukan pengurusan risiko mata wang yang cekap.

Walaupun prestasi KWSP menggalakkan, namun pencarum tidak boleh bergantung sepenuhnya pada dividen. Jangka hayat rakyat meningkat, bermakna tempoh persaraan lebih panjang. 

Bagi pencarum dengan tempoh caruman singkat, seperti saya, disiplin menambah simpanan menjadi keutamaan. Caruman sukarela dan pengurusan kewangan proaktif amat penting terutamanya dalam era ekonomi gig dan digital.

Kuasa pengkompaunan tidak boleh diabaikan. Ini kerana perbezaan satu atau dua peratus dalam dividen tahunan boleh memberi impak besar dalam jangka panjang.

Bagi saya, dividen KWSP bukan sekadar angka dalam laporan. Ia simbol keyakinan terhadap pengurusan dana negara, memberi ruang untuk merancang masa hadapan walaupun tempoh caruman tidak sepanjang yang diharapkan. 

Akhirnya, dividen hanyalah sebahagian daripada keseluruhan persamaan meliputi integriti pengurusan, strategi disiplin dan kesedaran individu terhadap tanggungjawab kewangan menentukan kesejahteraan hari tua. 

Dalam dunia yang berubah pantas, satu perkara kekal iaitu manusia memerlukan jaminan masa hadapan. Dividen KWSP menjadi penanda penting jaminan itu masih kukuh.

MOHD. FUDZAIL MOHD. NOR

25 tahun bekerja di luar negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN