Raikan perbezaan kaum, budaya

Raikan perbezaan kaum, budaya

PERTEMUAN umat dari berbilang nusa di Malaysia ini telah menghasilkan tamadun unik yang kaya dan pelbagai seperti mana rempah ratus terbitan Nusantara, berbeza tetapi wujud bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini kita amat bertuah dapat ‘berkongsi raya’ apabila Tahun Baru Cina berserentak dengan bulan Ramadan yang mulia.

Dalam gembira menyambutnya, kita tetap harus berwaspada tentang hiba yang menyelubungi sahabat-sahabat kita yang berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang getir terutamanya di Asia Barat.

Kesan konflik seperti ini tidak terhad kepada lokalitinya kerana kesannya amat signifikan terhadap harga minyak dan barang keperluan harian di seluruh dunia.

Saya tertanya-tanya mengapa manusia perlu sengsara semata-mata kerana mereka lain daripada yang lain. Sama ada di ibu pertiwi atau bumi asing, kita menyaksikan perbalahan yang tidak berkesudahan antara insan sungguhpun kita berkongsi leluhur ribuan tahun dahulu.

Malang sekali wujud puak yang percaya bahawa ketidakseragaman sebagai sesuatu yang cacat atau tidak sempurna. Malahan ada juga yang menjadikannya misi mereka untuk menyeragamkan umat manusia sehingga dalam keadaan tertentu menimbulkan konflik yang dikaitkan dengan perbezaan kepercayaan dan pegangan.

Untuk melunturkan dan mengubati fahaman asabiyah yang sempit dan bahaya, jawapannya bukan peperangan untuk menghapuskan musuh atau asimilasi paksa nan menghapuskan keunikan dan keperibadian setiap insan.

Sengaja kita dijadikan berbeza, kaum, budaya, bahasa, agama. Sengaja kita dicipta tidak semirip macam robot, tidak seragam macam buatan kilang. Sengaja agar kita saling mengenali.

Kenal untuk apa? Jawapannya tersedia dalam pepatah pusaka Melayu, “Tak kenal maka tak cinta.”

Tanah air kita adalah titik temu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya yang membawa saudagar-saudagar dari India, Timur Tengah, China dan Barat ke Nusantara.

Pertemuan umat dari berbilang nusa di Malaysia ini telah menghasilkan tamadun unik yang kaya dan pelbagai seperti mana rempah ratus terbitan Nusantara, berbeza tetapi wujud bersama, bukan sahaja dengan penuh harmoni malah saling melengkapi.

Ini mengingatkan saya bahawa dalam pelbagai tradisi termasuk tamadun Islam dan tamadun Tionghua, terdapat nilai-nilai murni yang selari. Pendeta agung kami mengajar bahawa ‘seseorang yang budiman mampu mengubah keharmonian dalam menguruskan ribuan perbezaan’ dan ‘dunia ini milik bersama untuk kebaikan sarwajagat’.

Tanggal 4 Mei 1956, seorang tokoh ulung pergerakan pendidikan medium Cina tempatan iaitu mendiang Cikgu Lim Lian Geok telah menukilkan sebuah perutusan dalam tulisan Jawi bersempena Hari Raya Aidilfitri yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Melayu.

Sebagai sebahagian daripada usaha menggembleng sokongan dan kesiapsiagaan pelbagai kaum di Tanah Melayu demi memerdekakan tanah air daripada penjajahan British, Cikgu Lim merungkai gagasan ‘Hidup Berbilang, Makmur Bersama’ sebagai asas pembinaan jiwa sebuah negara baharu yang menyatukan kaum Melayu, India dan Cina sebagai rakan kongsi bersama.

Sebagai pengerusi Dong Zong, impak kemuliaan Ramadan dan kemeriahan Syawal amat dirasakan kerana masyarakat Muslim kini sudah menjadi pemegang taruh besar dalam pendidikan medium Cina.

Kemajmukan masyarakat Malaysia semakin terserlah di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), hinggakan seorang daripada setiap lima muridnya bukan keturunan Cina, termasuk ramai yang beragama Islam.

Akhir sekali, saya penuh takzim menyusun 10 jari dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. – UTUSAN

DATUK DR. TAN YEW SING
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong) penggal 2024-2027

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN