GELOMBANG haba boleh menjejaskan pesakit diabetes secara serius. Suhu yang tinggi bukan sahaja menyukarkan fungsi harian tetapi juga boleh mencetuskan lonjakan gula darah, strok haba, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.
Banyak pesakit diabetes tidak menyedari cuaca panas juga mempengaruhi paras glukosa. Oleh itu, langkah pencegahan amat penting untuk memastikan kesihatan terjaga.
JAGA PARAS GULA
Pesakit diabetes perlu memantau paras glukosa harian terutamanya jika anda terpaksa bekerja di luar rumah atau berada di bawah cahaya matahari secara berpanjangan. Pemantauan membantu mengelak komplikasi dan tindakan segera boleh diambil jika paras gula naik secara mendadak.
MINUM AIR
Minum air secukupnya, air kelapa dan jus buah-buahan segar tanpa gula tiruan membantu mengekalkan paras gula stabil. Kekurangan air boleh meningkatkan dehidrasi, menambah tekanan kepada tubuh dan menyumbang kepada lonjakan gula darah.
LINDUNGI KULIT
Selaran matahari dan ruam akibat haba boleh meningkatkan stres pada badan, yang seterusnya menjejaskan paras glukosa. Gunakan pelindung matahari, pakaian ringan dan pastikan kulit sentiasa terlindung. Kurangkan stres melalui rehat yang cukup dan persekitaran yang sejuk.
MAKAN SECARA SEIMBANG
Gelombang haba boleh mengubah selera makan. Mungkin ada yang terlalu lapar atau hilang selera. Kekal pada diet seimbang, makan semua hidangan dan pilih makanan ringan serta mudah dihadam untuk mengekalkan paras gula stabil.
KEKAL DI TEMPAT TEDUH
Kurangkan pendedahan cahaya matahari secara langsung. Tinggal di dalam rumah atau di tempat teduh membantu mengekalkan suhu badan dan mengelak risiko strok haba atau lonjakan gula darah.
SEDIAKAN KIT DIABETES
Pastikan anda membawa kit diabetes yang lengkap, termasuk tablet atau gel glukosa, snek, insulin, picagari, meter glukosa darah dan maklumat kecemasan. Kit ini amat penting jika berlaku keadaan mendesak semasa berada di luar rumah.
Pemantauan, hidrasi, perlindungan diri, diet seimbang dan kit kecemasan adalah kunci utama untuk menghadapi cuaca panas dengan selamat. – UTUSAN
N. V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)











