Peringatan untuk jemaah haji

Peringatan untuk jemaah haji

PENTING untuk jemaah haji memberi fokus terhadap persediaan dari segi mental, fizikal dan kerohanian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi kita bakal menghadapi musim haji bagi tahun ini, dengan penerbangan pertama pada 18 April dan yang terakhir pada 20 Mei ini. Seramai 31,600 jemaah Malaysia bakal menunaikan haji pada tahun ini.

Selain jemaah Malaysia yang dikelola Tabung Haji,  sebanyak 31 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) mengendalikan jemaah swasta dengan pakej kadar bayaran yang lebih tinggi.

Kerajaan setakat akan meneruskan pengurusan jemaah haji dan persediaan rapi dibuat di sebalik keadaan di Asia Barat. Seramai 339 petugas kebajikan dan 225 petugas perubatan bakal ke Tanah Suci nanti.

Walaupun bimbang dengan situasi yang tidak menentu di Asia Barat, namun penting untuk jemaah memberi fokus terhadap persediaan rapi, baik dari segi mental, fizikal dan kerohanian. Aspek penjagaan kesihatan perlu ditingkatkan lagi.

Jemaah harus maklum banyak pergerakan fizikal yang memerlukan kecergasan penuh. Urusan tawaf, sai serta program di Masyair menuntut ketahanan dan ketabahan. Mereka perlu berjalan jauh untuk urusan itu.

Sementara belum berangkat, jemaah digalakkan untuk berjalan kaki setiap hari, mungkin empat lima kilometer bagi membina stamina dan kemampuan fizikal. Janganlah mengambil mudah perkara itu.

Bulan Mei dan Jun merupakan musim panas di Arab Saudi dengan suhu yang boleh mencecah 50 darjah Celsius pada waktu tengah hari. Berdasarkan pengalaman penulis berumrah pada bulan Jun, cuaca ketika itu sangat panas. Keadaan ini boleh menyebabkan kita mengalami dehidrasi, strok haba atau pitam.

Bagi jemaah yang berlepas awal, mereka akan menuju ke Madinah terlebih dahulu. Mereka digalakkan menunaikan solat berjemaah sekurang-kurangnya 40 waktu serta menziarahi makam Rasulullah SAW sekerap mungkin.

Tempoh 40 hingga 50 hari di Tanah Suci bukanlah singkat. Selain memberi tumpuan kepada ibadah, jemaah juga perlu menjaga kesihatan, mengawal pemakanan serta mengikuti program yang diatur oleh Tabung Haji atau PJH.

Apabila tiba di Mekah, keadaan menjadi semakin sesak, terutama menjelang hari wukuf. Jemaah perlu mematuhi segala nasihat Tabung Haji bagi mengelakkan risiko tersesat, hilang atau terperangkap dalam himpitan jutaan jemaah dari seluruh dunia. 

Kebiasaannya, Tabung Haji akan menasihati jemaah supaya menunaikan solat di surau hotel apabila hampir tiba hari Arafah. Pada waktu ini juga, ramai jemaah mula mengalami batuk dan demam. Mereka boleh dapatkan rawatan di Klinik Tabung Haji sekiranya perlu.

Cabaran sebenar bermula di Masyair. Jemaah perlu berdepan dengan khemah yang padat, kemudahan tandas dikongsi ramai, serta perjalanan jauh dengan berjalan kaki, termasuk ketika melontar tiga jamrah.

Gunakan peluang di Padang Arafah untuk bermunajat dan berdoa memohon kebaikan untuk diri, keluarga dan negara. Hayati sepenuhnya khutbah Arafah yang menyentuh jiwa dan pohon keampunan daripada Allah dengan penuh keikhlasan.

Apabila pulang ke tanah air, jemaah diharapkan dapat terus istiqamah dalam ibadah serta berusaha menjadi muslim yang lebih baik, sebagaimana yang diikrarkan pada Hari Arafah. Kemabruran haji wajar menjadi doa dan harapan setiap jemaah.-UTUSAN

 

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN