PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan langkah kerajaan menghadkan pengisian petrol RON95 kepada 200 liter sebulan sebagai tindakan yang ‘menghukum rakyat’ dan berpotensi menyebabkan kenaikan harga barang serta tekanan kos sara hidup.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman itu yang berkuat kuasa 1 April 2026 dilihat tidak mengambil kira realiti sebenar di lapangan khususnya melibatkan golongan pekerja sendiri, peniaga kecil dan pengusaha logistik skala kecil.
Menurutnya, walaupun kerajaan menyatakan hampir 90 peratus rakyat tidak terkesan namun golongan berkenaan berisiko menanggung beban tambahan dalam keadaan kos sara hidup yang sudah pun tinggi, sekali gus berpotensi menyebabkan lonjakan harga barangan terutama bekalan asas.
“Golongan ini berisiko menanggung beban tambahan dalam keadaan kos sara hidup yang sudah pun tinggi. Sebarang peningkatan kos operasi sudah pasti mengakibatkan lonjakan harga akan berlaku dan rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan harga barang terutamanya bekalan asas.
“Mengapa Kerajaan Madani memilih pendekatan menghadkan serta mengekang penggunaan rakyat? Rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kelemahan pentadbiran Kerajaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan had pengisian bahan api juga berpotensi memberi kesan rantaian kepada ekonomi domestik termasuk kenaikan harga diesel yang mencecah RM5.52 seliter dan memberi tekanan kepada sektor pengangkutan serta rantaian bekalan melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Keadaan ini dijangka meningkatkan kos pengangkutan dan logistik, seterusnya mendorong kenaikan harga barang keperluan harian serta menambah tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar langkah sementara yang menimbulkan kebimbangan dan menggesa kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang langkah sementara tidak akan dijadikan dasar kekal.
Dalam pada itu, PN mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan bagi membantu rakyat, antaranya pelaksanaan pendekatan berperingkat bagi sebarang kenaikan harga untuk mengelak kejutan ekonomi.
Katanya, PN mencadangkan peluasan subsidi bersasar kepada PMKS, sektor koperasi, pengangkutan, logistik, makanan serta rantaian bekalan asas, di samping mengelak golongan ekonomi pertengahan daripada tercicir.
PN turut menggesa kerajaan menyediakan subsidi strategik bagi pengangkutan barangan keperluan asas, memanfaatkan hasil tambahan minyak bagi menampung subsidi sementara serta meningkatkan ketelusan dalam mekanisme harga automatik.
“Cadangan lain termasuk memperketat penguatkuasaan anti-pencatutan, menyediakan pelan jangka panjang termasuk simpanan minyak dan mempelbagaikan import, selain mengoptimumkan kapasiti penapisan RAPID Pengerang.
“Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada import petroleum bertapis serta pelaburan dalam sumber tenaga alternatif selain disaran berhati-hati dalam mempertimbangkan cadangan larangan eksport agar keseimbangan kewangan dan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










