PELANCARAN Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 menandakan langkah strategik untuk membina generasi masa hadapan yang berilmu, beretika dan berdaya saing.
Pelan ini meletakkan pendidikan sebagai tunjang transformasi negara, merangkumi semua peringkat dari prasekolah hingga pengajian tinggi, dengan fokus pada kemajuan teknologi, pembangunan nilai kemanusiaan dan pembentukan warganegara yang bertanggungjawab.
RPM 2026-2035 memberi penekanan khusus kepada pendidikan awal sebagai asas pembangunan modal insan dengan penubuhan 350 kelas prasekolah baharu dan pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027, bilingualisme, literasi digital serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan nilai moral sejak usia awal selaras dengan keperluan tempatan dan budaya negara.
Pendekatan ini bertujuan melahirkan pelajar yang bukan sahaja akademik cemerlang tetapi juga berfikiran kritis, inovatif, dan beretika.
Dengan peruntukan RM860 juta untuk penyelenggaraan, pembinaan 41 sekolah baharu dan menaik taraf 520 sekolah daif, pelajar akan belajar dalam persekitaran selamat, kondusif dan motivasi tinggi.
Guru diberi sokongan melalui bilik guru yang kondusif, alat bantu moden dan peluang pembangunan profesional berterusan.
Kanada menunjukkan program mentor dan latihan berterusan memberi pulangan jangka panjang kepada sistem pendidikan.
Korea Selatan pula mengutamakan latihan guru yang kolaboratif, fleksibel dan berasaskan teknologi. Malaysia kini mencontohi pendekatan ini dengan strategi holistik yang menekankan kesejahteraan guru dan sokongan infrastruktur sebagai teras transformasi.
RPM 2026-2035 menekankan kesinambungan pendidikan sepanjang hayat. Dari prasekolah, pelajar dibentuk dengan asas akademik, kemahiran sosial, literasi digital dan nilai moral.
Infrastruktur sekolah yang selamat dan kondusif, serta guru yang berkemahiran dan didukung pembangunan profesional, memastikan pembelajaran berlaku secara optimum.
Kurikulum bersepadu membina kemahiran bilingual, literasi digital, asas STEM dan nilai kemanusiaan. Jerman menekankan kesinambungan pendidikan menengah dan vokasional, manakala Kanada menumpukan kepada pembangunan guru dan kurikulum bersepadu.
Malaysia bergerak ke arah visi sama, menyiapkan graduan yang berdaya saing, kreatif dan beretika, bersedia menghadapi cabaran global.
RPM 2026-2035 mengadaptasi elemen terbaik dengan pendekatan tempatan melalui prasekolah berkualiti, sekolah selamat dan kondusif, guru profesional dan dihargai, universiti berpaksikan kemanusiaan dan teknologi.
Kesinambungan ini membina asas akademik kukuh, kemahiran abad ke-21, literasi digital, integriti, empati dan tanggungjawab sosial. Pelan ini berpotensi melahirkan graduan kreatif, berdaya saing global dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara mampan.
Kejayaan pelan ini bergantung kepada kefahaman dan sokongan semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, komuniti dan pembuat dasar.
Dengan kesinambungan dari prasekolah hingga sekolah menengah, asas akademik diperkukuh dengan kemahiran lanjutan dan nilai kemanusiaan dapat menyediakan pelajar menjadi warganegara bertanggungjawab dan berdaya saing.
Dengan pelaksanaan yang mantap dan sokongan bersepadu, RPM 2026-2035 mampu membentuk pelajar yang cemerlang akademik dan pada masa sama membina generasi yang mampu membawa Malaysia ke hadapan, unggul dalam ilmu, nilai dan kepimpinan sosial.
Pelan ini menegaskan bahawa pendidikan adalah landasan masa depan dan dengan komitmen semua pihak, transformasi ini boleh direalisasikan dengan penuh harapan dan keberkesanan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SHAIK ABDUL MALIK MOHAMED ISMAIL
Universiti Sains Malaysia










