Pendidikan bukan sekadar ilmu tetapi pembentukan karakter

Pendidikan bukan sekadar ilmu tetapi pembentukan karakter

PENDIDIKAN yang berjaya ialah yang membina watak, nilai dan keutuhan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM wacana pendidikan hari ini, kejayaan sering diukur melalui pencapaian luaran iaitu keputusan peperiksaan, gred akademik, kebolehpasaran graduan dan kedudukan institusi dalam penarafan global.

Pendidikan seolah-olah direduksi kepada pengumpulan maklumat dan penguasaan kemahiran teknikal. Namun, persoalan asas semakin terpinggir, apakah makna sebenar pendidikan kepada manusia?

Pendidikan tidak sekadar menyalurkan ilmu atau menekankan pengetahuan. Ia menemukan maknanya apabila menyentuh dimensi being dan becoming, membentuk siapa seseorang itu dan ke arah mana dirinya berkembang.

Pendidikan yang berjaya ialah pendidikan yang membina watak, nilai dan keutuhan diri, bukan sekadar melahirkan individu yang tahu tetapi individu yang beradab, berakhlak dan berprinsip.

Keperluan ini menjadi lebih kritikal dalam dunia moden, apabila tugas menyampaikan maklumat tidak lagi monopoli guru atau pensyarah. Dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), fakta, definisi, penjelasan konsep, malah analisis asas boleh dijana dalam sekelip mata. Keadaan ini menuntut kita menilai semula peranan pendidik dalam ekosistem pembelajaran moden.

Tugas pendidik kini bukan sekadar memindahkan kandungan kognitif. Mereka perlu membimbing pelajar memahami dan memaknakan apa yang diketahui.

Pendidikan mesti beralih daripada penekanan kognitif kepada dimensi afektif dan reflektif, membantu pelajar merasai makna ilmu dalam kehidupan mereka.

Rasa, yang lahir dari hati, tidak boleh digantikan oleh teknologi. AI boleh menyampaikan maklumat tetapi hanya pendidik dapat membantu pelajar menghayati, menginternalisasi dan mengaitkan ilmu dengan nilai diri tindakan beradab mahupun akhlak mulia.

Dalam tradisi pemikiran holistik, pendidikan adalah proses menyeluruh yang melibatkan akal untuk mengetahui, hati untuk merasai dan nilai untuk membimbing tindakan.

Nilai inilah yang menjadi asas adab, akhlak dan pembentukan karakter. Tanpa laluan ini, ilmu tetap di permukaan, tidak mengakar dalam diri dan gagal membentuk perilaku serta watak manusia.

Pembentukan karakter adalah ukuran tertinggi kejayaan pendidikan. Ilmu tanpa nilai berisiko menjadi kosong, malah disalahgunakan. Sejarah membuktikan masyarakat yang dipenuhi individu berpendidikan tinggi tetapi miskin integriti tetap terdedah kepada krisis moral dan keruntuhan kepercayaan awam. Maka persoalannya bukan lagi berapa banyak yang diketahui, tetapi bagaimana ilmu itu membentuk manusia?

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) menekankan pembangunan insan secara menyeluruh, bukan hanya kecemerlangan akademik tetapi juga nilai, etika, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Cabaran sebenar ialah menghidupkan roh ini dalam pengalaman pembelajaran sebenar. Pendidikan mesti memberi ruang dalaman kepada pelajar untuk berfikir, merenung, merasa, dan mengaitkan ilmu dengan realiti kehidupan serta tanggungjawab moral.

Peranan pendidik menjadi signifikan. Bilik kuliah bukan hanya ruang pemindahan maklumat tetapi medan pembinaan kesedaran, nilai dan watak.

Apabila pelajar digalakkan menghubungkan ilmu dengan persoalan makna, etika dan kehidupan sebenar, maka pendidikan berubah daripada rutin akademik menjadi pengalaman membentuk diri.

Jika pendidikan hanya menekankan aspek kognitif, maka pelajar mungkin tahu banyak perkara tetapi tidak menjadi insan lebih baik.

Kejayaan sebenar pendidikan bukan terletak pada sijil atau gred yang diperoleh tetapi pada karakter manusia yang dibentuk.

Pendidikan yang sejati membantu manusia mengenal diri, membentuk nilai dan bertindak dengan adab, di situlah makna pendidikan ditemui yang paling mendalam. –UTUSAN

RATNA ROSHIDA AB. RAZAK
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN