PDRM perlu pantas bertindak, bersih dari salah laku

PDRM perlu pantas bertindak, bersih dari salah laku

SELURUH warga PDRM juga perlu komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan keamanan sejagat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN ini genap 219 tahun penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM). PDRM adalah institusi yang menjadi tunjang kepada keamanan dan ketenteraman negara. Pasukan polis diwujudkan atas kehendak dan keperluan masyarakat.

Sejarah kepolisan di tanah air bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan berkembang hingga ke fasa Malaysia moden kini.

Sejajar dengan transformasi semasa, pasukan Sang Saka Biru sentiasa berhadapan dengan cabaran semasa seperti jenayah siber, penipuan kewangan, penyebaran fitnah berunsur 3R (kaum, agama, raja) dan rentas sempadan.

Walau bagaimanapun, polis komited dalam melaksanakan tanggungjawab mencegah dan membanteras jenayah. Walaupun terdapat isu yang melibatkan disiplin dan salah laku anggota, kesemuanya perlu dijadikan pengajaran bagi menguatkan aspek pemantauan dalaman.

Ketelusan PDRM sentiasa menjadi perhatian umum dan akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap organisasi tersebut.

Seluruh warga PDRM perlu komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan keamanan sejagat.

Komitmen terus diberikan agar setiap siasatan dijalankan secara telus, adil dan berhemah, tanpa sebarang kompromi atau campur tangan pihak berkepentingan. Ini merupakan manifestasi kesungguhan PDRM dalam menegakkan kebenaran.

Sesuai dengan perkembangan teknologi semasa, PDRM perlu terus mengoptimumkan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasaan undang-undang.

Transformasi tersebut akan meningkatkan keberkesanan operasi, mempercepatkan penyelesaian kes dan mengurangkan beban tugas anggota di lapangan.

Kebajikan anggota pasukan polis juga perlu diutamakan. Perkhidmatan sokongan moral perlu diberikan agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih fokus dan berintegriti.

Minat terhadap PDRM boleh dipupuk melalui penubuhan pasukan Kor Kadet Polis di sekolah, Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Sukarelawan Simpanan PDRM. Inisiatif tersebut boleh ditransformasikan menjadi kerjaya yang bermanfaat.

Pasukan PDRM perlu sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan masyarakat, lawatan sekolah, kempen sosial dan demonstrasi bagaimana mereka boleh melindungi masyarakat.

Peranan filem-filem yang berunsurkan kepolisan juga penting dalam memugar minat generasi muda. Walaupun lebih kepada aksi, namun sarat dengan pengajaran.

Warga PDRM perlu terus mengubah minda dan cara bekerja kepada budaya kerja kelas pertama berasaskan pemikiran di luar kotak.

Apa yang pasti, warga PDRM akan terus mengorak langkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan, profesionalisme dan integriti yang tinggi. Iltizam untuk mempertahankan keamanan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira cabaran menjadi prioriti selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Sepanjang tempoh 219 tahun, terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh PDRM.

Bak kata peribahasa “Biar putih tulang, jangan putih mata”. Sejarah dan profesionalisme PDRM dalam mempertahankan kedaulatan negara seharusnya dikenang dan dihargai agar terus kekal relevan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN