AGENDA pembinaan negara bangsa memasuki fasa yang lebih bermakna apabila Kementerian Perpaduan Negara menggariskan lima kluster utama iaitu Tunas Madani, Komuniti Madani, Harmoni Madani, Rakyat Madani dan Warisan Madani.
Lima pasak ini bukan sekadar kerangka dasar tetapi undangan kepada seluruh rakyat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab membina perpaduan dan identiti nasional.
Pembinaan negara bangsa perlu digerakkan dari bawah, melalui denyut nadi komuniti setempat. Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera tetapi lahir daripada kefahaman yang jujur terhadap sejarah tanah air.
Justeru, ahli sejarah dan cendekiawan perlu turun ke lapangan sebagai penggerak sejarah awam. Mereka harus menterjemah kajian akademik kepada naratif yang mudah difahami tanpa menjejaskan kebenaran, agar sejarah benar-benar hidup dalam masyarakat.
Komuniti pula bukan sekadar penerima dasar tetapi pencipta sejarah itu sendiri. Setiap kampung dan daerah menyimpan kisah tersendiri daripada pembukaan tanah hingga semangat gotong-royong ketika bencana. Melalui pembinaan arkib komuniti dan pengumpulan sejarah lisan, kita memberi ruang kepada warga emas, penoreh getah, nelayan dan pelombong kecil untuk berkongsi memori.
Apabila masyarakat mendokumentasikan kisah sendiri, mereka membina rasa memiliki yang menjadi asas perpaduan sosial.
Universiti awam dan mahasiswa sejarah boleh menjadi jambatan antara ilmu akademik dan realiti masyarakat. Dengan latihan metodologi dan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mendigitalkan bahan sejarah secara beretika, kita memastikan warisan negara kekal terpelihara dan boleh diakses generasi akan datang. –UTUSAN
MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Mahasiswa Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)









