“BUDAK-BUDAK sekarang manja. Kerja sikit pun mengeluh. Tak tahan tekanan. Rapuh.”
Ungkapan seperti ini sering kedengaran apabila kita berbicara tentang pelajar universiti hari ini. Mereka dilabel sebagai terlalu sensitif, gemar mengambil jalan mudah atau kurang daya tahan.
Namun sebagai pendidik, wajar kita berhenti sejenak dan bertanya atas dasar apakah penilaian ini dibuat? Adakah dengan kefahaman yang menyeluruh, atau sekadar perbandingan dengan pengalaman silam kita sendiri? Cara kita memahami pelajar akan menentukan cara pendidikan mereka.
Antara aspek penting yang jarang diberi perhatian ialah perkembangan prefrontal cortex iaitu bahagian otak yang mengawal pertimbangan rasional, kawalan emosi dan keupayaan membuat keputusan.
Penyelidikan menunjukkan perkembangan otak remaja berterusan sehingga lewat usia 20-an.
Dalam tempoh ini, sistem emosi berkembang lebih awal berbanding sistem kawalan kognitif. Justeru, mereka lebih mudah terkesan oleh tekanan, emosi dan pengaruh persekitaran ketika membuat keputusan. Kesukaran mengurus tekanan atau melihat implikasi jangka panjang bukan semata-mata kelemahan sikap tetapi sebahagian daripada proses tumbesaran yang sedang berlaku.
Apabila konteks perkembangan ini tidak difahami, pendidik mungkin membuat penilaian yang tidak seimbang. Jurang emosi antara pendidik dan pelajar boleh melebar, lalu menjejaskan suasana pembelajaran.
Kita sering membandingkan mereka dengan diri kita dahulu. Ungkapan “Zaman kami dulu…” menjadi sandaran apabila tingkah laku mereka tidak memenuhi jangkaan. Namun perlu jujur mengakui dunia kita dahulu lebih terhad dan perlahan. Cabarannya tetap ada tetapi skopnya kecil dan bersifat setempat. Persaingan tidak melangkaui sempadan geografi. Kegelisahan jarang dipamerkan secara terbuka.
Hari ini, pelajar membesar dalam dunia tanpa sempadan. Media sosial membuka ruang perbandingan yang tidak pernah berhenti. Setiap kejayaan orang lain terpampang di skrin, setiap kekurangan diri terasa diperhatikan.
Tekanan akademik bertambah dengan ketidakpastian pasaran kerja dan jangkaan masyarakat yang semakin tinggi. Tekanan ini halus tetapi berpanjangan serta memberi kesan kepada keyakinan diri dan kesihatan mental. Dalam realiti ini, melabel mereka sebagai lemah mungkin terlalu mudah.
Peranan pendidik perlu dilihat semula. Kita bukan sekadar penyampai ilmu atau penilai prestasi. Kita turut membentuk emosi pembelajaran dan cara pelajar melihat nilai diri mereka. Mendidik generasi hari ini memang mencabar tetapi ia lahir daripada perubahan landskap kehidupan yang pantas dan kompleks. Ketegasan sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu disertai ihsan dan empati.
Empati bukan bererti melonggarkan standard atau mengabaikan disiplin. Empati ialah kesediaan memahami konteks sebelum menilai. Misalnya, apabila seorang pelajar melakukan kesalahan, kita boleh memilih untuk menegur secara terbuka sehingga memalukan atau menegur secara berhemah dan bersemuka.
Jika tujuan kita benar-benar untuk membina, maka pendekatan kedua lebih mendidik.
Ketegasan tanpa empati boleh menjadi hukuman reaktif. Empati tanpa ketegasan pula berisiko menjadi pengabaian tanggungjawab. Keseimbangan antara kedua-duanya menuntut kematangan profesional.
Empati dalam konteks pendidikan ialah mendengar tanpa prasangka, memberi maklum balas yang membina dan menegur dengan bahasa yang memelihara maruah. Ia memastikan peraturan dilaksanakan dengan kefahaman terhadap perkembangan emosi dan realiti kehidupan pelajar.
Akhirnya, generasi ini bukan tempang nilainya. Mereka sedang membesar dalam dunia yang lebih kompleks daripada yang pernah kita kenali. Mereka memerlukan bimbingan yang tegas tetapi manusiawi.
Di sinilah peranan pendidik menjadi paling bermakna, bukan sebagai penghukum yang cepat melabel tetapi sebagai pembimbing yang membantu mereka memahami tekanan, mengurus emosi dan membina daya tahan.
Mendidik ialah tentang membentuk manusia dan proses itu sentiasa menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan hati yang memahami. –UTUSAN
DR. MARDIAH HAFIZAH MUHAMMAD HAFIZI
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam










