Kampus jadi makmal pemimpin dalam dunia tidak menentu

Kampus jadi makmal pemimpin dalam dunia tidak menentu

UNIVERSITI perlu memperkukuh latihan berasaskan integriti, akauntabiliti dan etika supaya kepimpinan benar-benar menjadi proses pembentukan karakter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini bergerak dalam keadaan yang sukar diramal. Perubahan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, kemajuan kecerdasan buatan dan krisis kesihatan global menjadikan era semasa sering digambarkan sebagai penuh ketidaktentuan, kompleks dan berubah pantas (VUCA). 

Dalam suasana ini, negara tidak lagi hanya memerlukan graduan cemerlang secara akademik tetapi individu yang matang berfikir, berpegang pada nilai serta mampu membuat keputusan dalam keadaan serba tidak sempurna.

Kepimpinan mahasiswa di kampus sebenarnya berperanan sebagai ruang latihan awal sebelum mereka memasuki dunia sebenar. Penglibatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), persatuan akademik atau aktiviti sukarelawan memberi pengalaman mengurus sumber terhad, menyelesaikan konflik, berunding dengan pentadbiran dan mempertahankan kepentingan rakan sebaya secara profesional. 

Proses ini membentuk kemahiran analitik, komunikasi dan pertimbangan moral yang sukar dipelajari melalui kuliah semata-mata.

Namun cabaran utama ialah memastikan kepimpinan tersebut bersifat membina, bukan sekadar simbol status atau batu loncatan politik. Jika jawatan hanya dilihat sebagai populariti, maka nilai pendidikan akan terhakis dan kepercayaan mahasiswa terhadap institusi kepimpinan turut merosot. 

Universiti perlu memperkukuh latihan berasaskan integriti, akauntabiliti dan etika supaya kepimpinan benar-benar menjadi proses pembentukan karakter.

Kajian global oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan kemahiran seperti pemikiran analitik, daya tahan, fleksibiliti dan kepimpinan sosial menjadi antara keperluan utama menjelang dekad akan datang. Ini menandakan pemimpin masa hadapan perlu memahami data dan teknologi tetapi pada masa sama memiliki empati sosial agar keputusan tidak terpisah daripada realiti manusia.

Dalam masyarakat digital dengan kadar penggunaan internet yang tinggi, kepimpinan kampus juga berfungsi sebagai ruang dialog matang. Mahasiswa belajar membezakan fakta daripada persepsi serta membina hujah berasaskan data. 

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman membantu mereka belajar daripada kejayaan dan kesilapan secara seimbang.

Impak jangka panjangnya amat besar. Ramai pemimpin negara dan korporat lahir daripada pengalaman memimpin di kampus. 

Laporan Bank Dunia turut menegaskan  produktiviti dan inovasi bergantung kepada modal insan berkualiti, termasuk keupayaan memimpin perubahan.

Akhirnya, kepimpinan mahasiswa bukan sekadar aktiviti kokurikulum tetapi pelaburan strategik membina generasi pemimpin yang berfikiran kritis, beretika dan berempati. Itulah asas penting bagi daya tahan negara dalam dunia yang semakin tidak menentu. -UTUSAN

PUTRI ELINA MYRA AZRIL JUNAIDI  & NURUL NISHA MOHD. SHAH

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN