KEWUJUDAN kecerdasan buatan (AI) dalam landskap sosioekonomi Malaysia hari ini bukan lagi sekadar naratif futuristik, sebaliknya menjadi realiti yang menyatu dalam nadi kehidupan seharian.
Daripada pelajar universiti hingga pengusaha industri kecil dan sederhana, teknologi ini dimanfaatkan untuk mempercepat carian maklumat, menganalisis data raya serta mengoptimumkan operasi perniagaan.
Aplikasi pesanan kini dilengkapi pembantu maya, manakala platform pembelajaran mampu meringkaskan literatur kompleks dalam tempoh singkat.
Dalam konteks inilah Ramadan hadir sebagai madrasah rohani yang amat signifikan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 menegaskan puasa diwajibkan agar manusia mencapai takwa.
Rasulullah SAW pula menyifatkan puasa sebagai perisai atau benteng daripada dorongan nafsu yang impulsif.
Era AI yang memuja kepantasan dan respons segera sementara puasa melatih manusia mengambil jeda sebelum bertindak. Jeda ini penting agar setiap perkongsian, komen atau keputusan digital dibuat dengan pertimbangan yang matang, bukan sekadar mengikut emosi atau arus penularan.
Cabaran keselamatan maklumat seperti berita palsu, kandungan deepfake dan manipulasi algoritma semakin membimbangkan.
Prinsip tabayyun yang digariskan dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 menuntut umat Islam menyelidik kebenaran sebelum menyebarkan sesuatu berita.
AI, walau secanggih mana, tidak memiliki iman, adab atau niat sebaliknya sekadar berfungsi berdasarkan data dan arahan pengaturcaraan.
Perbezaan ini menegaskan manusia ialah pengendali, bukan hamba kepada teknologi.
Ramadan mengasah nilai keikhlasan, ketangguhan dan integriti. Integriti puasa terserlah apabila seseorang tetap jujur walaupun tiada siapa memerhati. Sikap ini wajar diterjemahkan dalam etika digital melalui bertanggungjawab terhadap setiap jejak dalam talian tanpa menunggu pengawasan luaran.
Pemikir kontemporari seperti Cal Newport melalui bukunya, Digital Minimalism serta Adam Alter dalam Irresistible turut mengkritik bagaimana aplikasi moden direka untuk memerangkap perhatian manusia.
Analisis ini selari dengan konsep pengendalian nafsu dalam Islam. Puasa berfungsi memutuskan rantaian ketagihan terhadap skrin dan konsumerisme digital secara berkala.
Dalam masyarakat Malaysia yang kadar penembusan internetnya tinggi, menyebabkan golongan muda mudah terdedah kepada tekanan perbandingan sosial dan dorongan berbelanja. Roh Ramadan yang menuntut kesederhanaan menjadi penawar kepada budaya berlebihan ini.
Namun, pendekatan terhadap AI harus bersifat seimbang. Teknologi juga memudahkan ibadah dan kebajikan melalui aplikasi seperti Muslim Pro serta pengurusan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor secara dalam talian.
AI boleh dimanfaatkan untuk memperkasa pendidikan, memperluas akses ilmu dan menyokong maqasid syariah, khususnya dalam menjaga akal dan agama. Yang penting, manusia tidak menyerahkan sepenuhnya daya fikir kritikal kepada mesin.
Secara tuntas, hikmah berpuasa dalam era AI terletak pada keupayaannya mengembalikan manusia kepada pusat kemanusiaan yang hakiki. Di tengah dunia yang dipacu algoritma, puasa menawarkan ruang refleksi, ketenangan dan kawalan diri.
AI mungkin mampu menganalisis data dan meramal tingkah laku tetapi tidak memiliki hati yang tunduk kepada Tuhan. –UTUSAN
MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)










