KEMAJUAN kecerdasan buatan (AI) mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja dan mendapatkan maklumat.
Media sosial, aplikasi pesanan serta pelbagai platform kandungan hari ini digerakkan oleh algoritma yang direka untuk mengekalkan perhatian pengguna melalui notifikasi berterusan, cadangan kandungan tanpa henti dan paparan perkara yang sedang tular.
Tanpa disedari, reka bentuk ini menyumbang kepada fenomena takut ketinggalan (FOMO).
Istilah FOMO mula diperkenalkan sekitar 2004 bagi menggambarkan keterikatan emosi pengguna terhadap media sosial.
Pada awalnya ia dilihat sebagai isu individu, namun kajian terkini termasuk penyelidikan di Universiti Malaya menunjukkan FOMO menjadi fenomena sosial yang dipengaruhi struktur teknologi digital itu sendiri. Ia memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat merentas generasi, termasuk golongan rentan dan warga emas.
AI sentiasa menonjolkan siapa yang aktif, apa yang popular dan perkara yang ‘perlu’ dilihat segera.
Mekanisme ini mencetuskan perbandingan sosial berterusan serta tekanan untuk sentiasa berada dalam talian.
Kajian mendapati pendedahan berlebihan kepada kandungan dipacu algoritma meningkatkan kebimbangan, keletihan mental dan gangguan tumpuan.
Bagi warga emas, kesannya boleh menjadi lebih mencabar. Mereka menggunakan teknologi untuk kekal berhubung dengan keluarga, namun pada masa sama mudah terdedah kepada kekeliruan maklumat, rasa terpinggir dan tekanan emosi akibat perubahan digital yang terlalu pantas.
Apabila FOMO berlarutan, ketenangan jiwa atau sakinah semakin terhakis. Manusia menjadi reaktif, mudah gelisah dan sukar menikmati kehadiran saat kini. Ironinya, seseorang boleh kelihatan sentiasa berhubung secara digital tetapi sebenarnya kesunyian secara emosi. Dalam keadaan ini, teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan akhirnya membentuk kebergantungan yang melemahkan kesejahteraan rohani dan psikososial.
Ramadan hadir sebagai ruang terbaik untuk berhenti sejenak dan menilai semula hubungan manusia dengan teknologi. Dalam dunia moden, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi medan latihan menyeluruh untuk mendisiplinkan diri, termasuk keinginan terhadap rangsangan digital.
Tradisi Islam menawarkan pendekatan spiritual yang praktikal melalui konsep tazkiyyah an-nafs, iaitu penyucian jiwa.
Konsep ini diperincikan oleh sarjana Islam agung, Imam al-Ghazali, yang menekankan kesedaran diri, pengawalan keinginan berlebihan dan penyelarasan tujuan hidup dengan nilai kerohanian.
Menurut beliau, manusia perlu memahami keseimbangan antara hati (al-qalb), roh, jiwa (nafs) dan intelek (aql). Apa yang zahir melalui perkataan dan perbuatan sebenarnya mencerminkan keadaan batin seseorang.
Tazkiyyah an-nafs mengajak manusia membersihkan sifat mazmumah seperti iri hati, riak dan keinginan berlebihan yang sering dipacu budaya perbandingan media sosial. Apabila hati dipupuk dengan sifat mahmudah seperti syukur, rendah diri dan rasa cukup (qana‘ah), seseorang lebih mampu mengawal dorongan FOMO serta membuat keputusan secara tenang.
Beberapa langkah praktikal boleh diamalkan sepanjang Ramadan. Pertama, melakukan muhasabah harian dengan menilai tempoh penggunaan gajet serta emosi selepas melayari media sosial.
Kedua, melaksanakan mujahadah al-nafs dengan menghadkan notifikasi dan menetapkan waktu ‘puasa digital’, khususnya sebelum tidur atau ketika bersama keluarga.
Ketiga, memperbanyakkan zikir dan amalan rohani bagi menenangkan fikiran serta mengurangkan kebergantungan kepada rangsangan luaran.
Keempat, memupuk rasa cukup dengan menghargai hubungan nyata, seperti meluangkan masa berbuka puasa dan bersahur tanpa gangguan skrin, terutama bersama warga emas.
Hakikatnya, FOMO yang dipacu AI bukan sekadar cabaran teknologi tetapi cabaran kemanusiaan. Ramadan mengingatkan teknologi seharusnya berada di bawah kawalan nilai, bukan sebaliknya.
Melalui tazkiyyah an-nafs, manusia mendidik hati dan intelek agar menggunakan teknologi secara beretika dan seimbang.
Penyucian jiwa ini bukanlah penolakan terhadap kemajuan tetapi usaha memanusiakan teknologi demi ketenangan diri dan kesejahteraan bersama. –UTUSAN
DR. MAISARAH HASBULLAH
Pensyarah Kanan,
Pengajian Sains dan Teknologi,
Fakulti Sains,
Universiti Malaya










