PENDIGITALAN telahpun mengorak satu langkah demi langkah, mencorakkan trend bagaimana bahan bacaan digital pada hari ini telah menerawang masuk ke dalam gajet canggih yang kita miliki, sehinggakan setiap maklumat, pembelian dan gejala sosial hanya di hujung jari, aplikasi telahpun menghafal algoritma yang mahu dicari ataupun ditulis.
Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa kewujudan media sosial atau secara amnya internet, telah menggantikan perpustakaan secara menyeluruh, namun hakikatnya, perpustakaan sentiasa menyesuaikan diri dengan mengikuti perkembangan digital dan keperluan semasa bagi perpustakaan mendekati serta memenuhi kepuasan penggunanya.
Terdapat e-buku dan pangkalan data, menjadikan perpustakaan terlibat dalam pembangunan koleksi digital, berperanan dalam menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu hibrid, dimana disinilah titik tolak perkembangan ilmu berlaku mengikuti aliran zaman.
Tidak dilupa juga terhadap peranan pustakawan sebagai penunjuk arah maklumat, dalam memberi pandangan serta nasihat kepada pengguna untuk menerokai kepelbagaian ilmu dan sebagai pencetus pemantapan idea dalam kalangan pengguna atau pelajar.
Sepanjang perjalanan perjuangan organisasi, perpustakaan tidak terlepas daripada menghadapi cabaran, retorik yang kerap bermain di fikiran adalah isu relevansi perpustakaan dalam pandangan masyarakat.
Oleh kerana itu, perpustakaan bergerak dalam pelbagai pendekatan iaitu dengan melibatkan perpustakaan dalam ruang komuniti, mempelbagaikan program literasi yang menarik perhatian masyarakat serta melakukan kolaborasi bersama sekolah dan universiti bagi mengangkat perpustakaan dekat di hati masyarakat.
Malah, perpustakaan tidak pernah sunyi dalam bergerak memfokuskan inisiatif yang relevan kepada masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang cakna akan ilmu, keperibadian yang molek adalah hasil cetusan dan sumbangan perpustakaan menyediakan peluang kepada masyarakat untuk berilmu dan berbakti semula kepada nusa dan bangsa dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Perpustakaan mungkin sunyi pada pandangan mata, namun di situlah lahirnya kecemerlangan yang menyuntik kekuatan dan ketabahan sebagai seorang pencinta ilmu, dalam mendalami serta memahami ilmu agar ia menjadi amalan yang boleh disumbangkan kembali kepada masyarakat atau dalam erti kata lain, membangunkan negara yang tercinta dengan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Sunyi itu bukan tanda kekosongan, sebaliknya ruang yang menghidupkan makna ilmu dan perubahan diri.
Dalam kesenyapan itulah lahir insan berilmu yang mampu mengangkat martabat negara, masa depan dengan lebih bermakna, menjadikan negara mempunyai aset intelektual yang mampu bersaing dengan antarabangsa memberi contoh yang positif bahawa dengan memperkaya ilmu dalam hati dan mekar di dalam jiwa, mampu merangka laluan kecemerlangan yang hebat dalam senyap serta senjata yang membunuh kejahilan dalam pemikiran.
Perubahan yang besar berlaku bermula secara perlahan, halaman demi halaman yang dibaca, menimbulkan persoalan dan kesedaran tanpa disedari.
Perpustakaan sebagai saksi kepada setiap perjalanan individu yang hadir, daripada seseorang yang datang tanpa arah, pulang dengan seribu harapan dan keyakinan baharu, selagi mana manusia mencari makna dan istilah, selagi itulah perpustakaan mustahil berdiam diri dan akan terus kekal relevan sebagai tempat yang sunyi yang terus mengubah kehidupan. – UTUSAN
MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Penolong Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia










