PETALING JAYA: Sabah dan Sarawak perlu bersatu dengan agenda bersama yang jelas berlandaskan kekuatan dimiliki untuk menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, ini kerana jumlah kerusi Parlimen di wilayah Borneo berupaya menentukan barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
“Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi Parlimen. Bersama Labuan, jumlahnya 57. Dalam PRU yang sengit, blok ini mampu menentukan siapa yang membentuk kerajaan Persekutuan.
“Sesebuah gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mentadbir. Jika tiada pihak memperoleh majoriti kukuh, maka Borneo menjadi penentu,” katanya dalam satu hantaran di sosial media semalam.
Beliau berkata, kedua-dua negeri itu perlu kekal tenang dan memberi tumpuan kepada agenda kestabilan, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil dan pengukuhan hak negeri.
Menurutnya, landskap politik di Semenanjung Malaysia kini semakin dipengaruhi isu perkauman, agama dan persaingan ideologi. – UTUSAN










