TAIPING sekali lagi melakar detik bermakna apabila sebuah kafe di Taman Tasik Taiping menerima pengiktirafan sebagai Hentian Komuniti kelapan di bandar bersejarah ini.
Pengiktirafan ini melengkapkan rangkaian yang turut melibatkan Perpustakaan Taiping, Muzium Taiping, Zoo Taiping, Taiping Gallery dan beberapa kafe lain. Ia memperlihatkan kesungguhan pelbagai pihak untuk membina bandar yang lebih mesra manusia, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai berhampiran Taman Tasik Taiping.
Taman Tasik Taiping sebagai taman awam pertama di Malaysia sejak 1880. Bekas lombong bijih timah ini berubah menjadi landskap hijau yang mendamaikan dengan latar Bukit Larut dan deretan pokok hujan-hujan yang ikonik.
Sejak lebih satu abad lalu, tasik ini menyatukan warga kota. Di sinilah keluarga beriadah, warga emas berbual di bangku, anak-anak berlari bebas dan pelancong menikmati suasana tenang. Ruang ini membina memori kolektif yang membentuk identiti Taiping sebagai bandar yang hidup bersama alam dan komuniti.
Hentian komuniti mengangkat nilai kemanusiaan dalam pembangunan bandar dengan kelengkapan kemudahan asas seperti tandas, ruang rehat dan maklumat setempat tetapi maknanya lebih mendalam.
Hentian komuniti menghubungkan penduduk, pelawat dan peniaga dalam satu ekosistem yang saling menyokong. Interaksi santai yang berlaku di ruang ini memupuk rasa saling percaya dan memperkukuh semangat kejiranan secara semula jadi.
Inisiatif ini juga memperlihatkan kerjasama awam-swasta yang matang. Perniagaan tidak lagi berdiri terpisah daripada komuniti, sebaliknya tampil sebagai rakan strategik yang membantu meningkatkan kualiti persekitaran bandar.
Apabila premis komersial membuka pintu kepada orang ramai dengan sikap terbuka dan bertanggungjawab, mereka menyumbang kepada pengalaman bandar yang lebih inklusif. Pembangunan tidak lagi tertumpu kepada struktur fizikal semata-mata tetapi merangkumi kesejahteraan sosial dan keselesaan harian pengguna ruang awam.
Kewujudan hentian komuniti di sekitar Taman Tasik Taiping meningkatkan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki, warga emas, keluarga bersama anak kecil serta pelancong. Ia menyokong gaya hidup aktif dan sihat, di samping mengiktiraf hak setiap orang untuk menikmati bandar dengan bermaruah.
Bandar yang baik memahami pengalaman warganya dan menyediakan ruang yang mudah diakses serta mesra pengguna.
Taiping membuktikan bandar berjiwa lahir apabila komuniti dan perniagaan berganding bahu, membina ruang yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi hangat dirasai. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. YONG ADILAH SHAMSUL HARUMAIN
Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah,
Fakulti Alam Bina,
Universiti Malaya










