MM2H jana ekonomi negara lebih RM3 billion - Utusan Malaysia

MM2H jana ekonomi negara lebih RM3 billion

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 3,172 permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) diluluskan sekali gus menjana anggaran sebanyak RM3.875 bilion nilai ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sumbangan ekonomi ini terhasil daripada dua syarat teras yang dipenuhi pemohon berjaya, melibatkan keseluruhan 9,038 peserta.

Menurutnya, antara syarat teras itu adalah deposit tetap berjumlah RM2.35 bilion, pembelian hartanah kediaman RM1.51 bilion serta yuran penyertaan sebanyak RM13.855 juta oleh pemohon yang berjaya.

“Permohonan yang diluluskan terdiri daripada 46 kategori Platinum, 154 kategori Emas, 2,650 kategori Perak dan 322 di bawah Zon Ekonomi/Kewangan Khas, melibatkan keseluruhan 9,038 peserta program.

“Ini adalah hasil usaha saya bersama Tourism Malaysia sepanjang tahun lepas, di mana saya telah melawat 19 bandar di 11 negara termasuk ASEAN, Asia Barat, Eropah, China dan Australia bagi mempromosikan Malaysia dan MM2H.

“Usaha ini membuahkan hasil apabila pasaran utama menunjukkan pertumbuhan ketibaan pelawat,” katanya dalam kenyatan Laporan Kemajuan Kerja 2025 hari ini.

Tambah King Sing, perkara ini dapat dilihat dengan ketibaan pelawat dari Australia meningkat sebanyak 11 peratus kepada hampir 497,000 orang.

Manakala pelawat dari Switzerland dan Poland masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 15.3 peratus dan 32.6 peratus, menandakan keberkesanan promosi berterusan.

“Kejayaan MM2H bukan sahaja meningkatkan ekonomi negara tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan dan pelaburan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN