Kehadiran Kulasegaran timbul persepsi negatif sistem kehakiman - Utusan Malaysia

Kehadiran Kulasegaran timbul persepsi negatif sistem kehakiman

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran mengiringi aktivis, Arumugam Dorasamy ke mahkamah boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap ketelusan dan kesaksamaan sistem kehakiman negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, situasi tersebut boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman dan menimbulkan tanda tanya mengenai integriti proses perundangan.

“Hari ini kita saksikan dua individu dituduh di mahkamah atas pertuduhan sama, tetapi layanan berbeza diberikan.

“Seorang di Kuala Lumpur diusung polis dengan tangan bergari, manakala seorang lagi di Jawi berjalan tenang, lengkap bersut dan diiringi timbalan menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhamad Akmal berkata, mahkamah merupakan institusi yang perlu bebas daripada sebarang bentuk pengaruh sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Katanya, walaupun kehadiran timbalan menteri mungkin tidak bertujuan mencampuri proses keadilan, namun persepsi awam mengenai keadilan adalah amat penting.

“Justice must not only be done, but must also be seen to be done. Sekalipun timbalan menteri pernah menjadi peguam, beliau sepatutnya memahami prinsip ini.

“Jika timbalan menteri tidak menyedari implikasi kehadirannya, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengapa beliau diperlukan untuk mengiringi orang kena tuduh ke mahkamah jenayah.

“Sekiranya menyedari, beliau perlu menjelaskan sebab tindakan itu tetap dilakukan,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Kulasegaran yang dilihat bersama Arumugam ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan mencetuskan persoalan pelbagai pihak.

Arumugam didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN