PERUBAHAN harga barang, ketidaktentuan ekonomi global dan pelbagai krisis yang berlaku di beberapa bahagian dunia mengingatkan bahawa kehidupan boleh berubah dalam sekelip mata. Keadaan ini menjadikan sikap berhati-hati dalam mengurus kewangan semakin penting termasuk ketika musim perayaan.
Di sinilah nilai kesederhanaan memainkan peranan yang penting. Kesederhanaan tidak bermaksud menyambut raya tanpa persiapan atau mengurangkan kegembiraan perayaan.
Sebaliknya, kesederhanaan mengajak masyarakat membuat pilihan yang lebih bijak dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.
Membeli sekadar yang mencukupi, menyediakan hidangan yang bersesuaian dan mengelakkan pembaziran merupakan antara langkah kecil yang boleh membantu mengurus perbelanjaan dengan lebih baik.
Musim perayaan juga boleh menjadi masa yang sesuai untuk menilai semula kedudukan kewangan keluarga. Perbelanjaan raya biasanya melibatkan pelbagai komponen seperti makanan, pakaian, perjalanan dan pemberian duit raya.
Tanpa perancangan yang teliti, jumlah perbelanjaan boleh meningkat dengan cepat dalam tempoh yang singkat. Oleh itu, menetapkan had perbelanjaan serta menyediakan senarai keperluan sebelum membeli boleh membantu mengelakkan pembelian secara impulsif.
Kepentingan simpanan juga tidak boleh dipandang ringan. Walaupun musim perayaan sering dikaitkan dengan semangat memberi dan berkongsi rezeki, keseimbangan antara berbelanja dan menyimpan perlu sentiasa dijaga.
Simpanan kecemasan, walaupun kecil, boleh menjadi pelindung sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka seperti masalah kesihatan, kehilangan pekerjaan atau keperluan mendesak yang lain.
Pada akhirnya, makna sebenar Aidilfitri tidak terletak pada kemewahan persiapan semata-mata. Nilai yang lebih penting ialah kesyukuran, kebersamaan keluarga dan semangat saling memaafkan.
Rumah yang sederhana tetap boleh dipenuhi kegembiraan apabila dihiasi dengan keikhlasan dan hubungan kekeluargaan yang erat.
Oleh itu, ketika menyambut Aidilfitri tahun ini, masyarakat boleh mengambil kesempatan untuk mengimbangi antara kegembiraan berbelanja dan kebijaksanaan mengurus kewangan.
Kesederhanaan bukanlah tanda kekurangan sebaliknya mencerminkan kematangan dalam membuat pilihan dan menghargai apa yang dimiliki.
Dengan perbelanjaan yang terancang dan sikap yang berpada-pada, Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kesyukuran serta ketenangan. Semoga sambutan tahun ini bukan sahaja membawa kegembiraan tetapi juga kebijaksanaan dalam mengurus kehidupan. – UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL
Pelajar pascasiswazah
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia










