8 Februari 2026 bersamaan 18 Ramadan menyaksikan pemergian sarjana Melayu-Islam ulung, Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pada usia 94 tahun.
Pemergiannya meninggalkan legasi intelektual dan pemikiran yang tiada bandingnya, menjadi pedoman generasi kini dan akan datang.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas memainkan peranan penting dalam menubuhkan institusi pendidikan tinggi Islam berdasarkan falsafah pendidikan Islam asli. Beliau membentangkan idea ini pada Persidangan Pendidikan Islam pertama di Makkah anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1977.
Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) yang diasaskannya menjadi pusat rujukan dunia dan pusat kajian peradaban Islam, menarik sarjana dari seluruh dunia untuk menimba ilmu daripada pemikir ulung ini.
Karya beliau, Risalah untuk kaum Muslimin, menekankan pembebasan manusia daripada penjajahan pemikiran dan mengembalikan kefahaman ilmu kepada ajaran Islam yang sahih.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas menegaskan kebebasan sebenar datang daripada kemampuan memahami hakikat ilmu melalui pandangan alam Islam, bukannya menolak tradisi atau agama.
Gagasan terbesar beliau ialah konsep Islamisasi Ilmu. Dalam bukunya, Aims and Objectives of Islamic Education, beliau menekankan perlunya menyaring dan menyusun ilmu moden selari dengan perspektif Islam.
Proses ini membebaskan manusia daripada tradisi lama yang membelenggu pemikiran dan memulihkan kedudukan ilmu sebagai jalan menuju pengenalan Tuhan serta pembinaan insan beradab.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban. Bahasa Melayu, menurut beliau, memainkan peranan penting dalam proses Islamisasi di Alam Melayu kerana menjadi medium penyebaran ajaran Islam, falsafah dan tradisi keilmuan.
Melalui bahasa Melayu, masyarakat dapat memahami konsep teologi, falsafah dan tasawuf yang penting. Beliau menekankan bahasa Melayu sebagai alat pembinaan pemikiran dan identiti tamadun.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Syed Muhammad Naquib Al-Attas mencadangkan penggabungan kajian bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu dalam satu kerangka menyeluruh. Hasilnya, beliau menubuhkan Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (IBKKM) pada 1973 untuk mengembangkan penyelidikan bahasa, budaya, kesusasteraan dan pengaruh Islam terhadap perkembangan intelektual masyarakat Melayu.
Pemergian beliau bagaikan kehilangan kompas yang membimbing pembentukan jiwa, akhlak dan watak bangsa. Tanggungjawab generasi kini bukan sekadar meratapi pemergian beliau tetapi meneruskan usaha memelihara dan mengembangkan pemikiran yang telah ditinggalkan.-UTUSAN
MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Presiden Kelab Sejarah Gunaan (KSG UUM) & Mahasiswa Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM)











