Edukasi digital kunci bebas dadah generasi Alpha

Edukasi digital kunci bebas dadah generasi Alpha

DASAR Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan berdisiplin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENERASI Alpha, lahir sekitar 2010 hingga kini, merupakan anak-anak yang membesar dalam dunia digital sepenuhnya.

Kehidupan mereka, dari corak pembelajaran hingga interaksi sosial dan pembentukan identiti, banyak dipengaruhi oleh teknologi. 

Dalam konteks ini, isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda memerlukan pendekatan baharu memandangkan kaedah konvensional sahaja tidak lagi mencukupi. 

Kita perlu memanfaatkan digitalisasi secara strategik, selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan usaha pencegahan dadah lebih relevan, berkesan dan mampan.

PPPM (2013–2025) menekankan enam aspirasi murid, termasuk keseimbangan antara pengetahuan, kemahiran berfikir, kepimpinan, kemahiran dwibahasa, etika, kerohanian dan identiti nasional. 

Pencegahan dadah perlu dimasukkan sebagai komponen pembangunan murid secara holistik. Digitalisasi membuka peluang besar untuk menyokong aspirasi ini. Modul digital mengenai bahaya dadah, pengurusan emosi dan kemahiran membuat keputusan boleh diintegrasikan dalam ekosistem pembelajaran digital, selaras dengan agenda pemanfaatan teknologi maklumat dan komunikasi. 

Untuk melindungi ‘generasi skrin’, usaha pencegahan harus bergerak ke ruang digital yang menjadi dunia utama mereka.

Di Malaysia, isu dadah masih serius, dengan golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun paling terdedah. Bentuk ancaman juga berubah. Penyalahgunaan dadah kini lebih berkait dengan gaya hidup. Contohnya, penggunaan rokok elektronik dalam kalangan generasi muda meningkat kerana reka bentuk menarik dan perisa pelbagai. 

Fenomena ‘vaping tersembunyi’ sering menjadi pintu masuk kepada tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah, terutamanya melalui pengaruh rakan sebaya dan media sosial.

Menyedari realiti ini, pendekatan pencegahan kini beralih kepada Intervensi Berasaskan Teknologi. Aplikasi mudah alih, platform dalam talian dan chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) menawarkan maklum balas segera dan capaian luas. 

Video animasi, simulasi digital, pembelajaran berasaskan senario dan permainan pendidikan mampu menarik minat Generasi Alpha yang lebih responsif terhadap kandungan visual dan interaktif. Kaedah ini lebih berkesan daripada pendekatan satu hala yang bersifat informatif sahaja.

Dalam konteks TVET, digitalisasi memainkan peranan penting. Pelajar TVET menghadapi tekanan latihan industri, tuntutan kemahiran kerja dan cabaran peralihan ke alam pekerjaan. 

Dasar TVET menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan berdisiplin. Oleh itu, pencegahan dadah perlu menjadi komponen kesejahteraan pelajar. 

Platform digital seperti e-pembelajaran kesejahteraan, aplikasi saringan kendiri dan kaunseling dalam talian boleh mengenal pasti pelajar berisiko serta menyediakan sokongan psikososial awal dan sulit, mengurangkan stigma mendapatkan bantuan.

Selain pencegahan primer, digitalisasi menyokong intervensi berasaskan data. Analisis corak pembelajaran, kehadiran dan penglibatan pelajar membolehkan pendidik mengenal pasti tanda awal tingkah laku berisiko. Pendekatan ini selaras dengan dasar pendidikan yang menekankan keputusan berasaskan bukti bagi meningkatkan keberkesanan intervensi.

Namun, pelaksanaan digitalisasi perlu disertai pengukuhan literasi digital. Tanpa kefahaman yang kukuh, ruang digital boleh menjadi saluran maklumat palsu, pengaruh negatif dan normalisasi tingkah laku berisiko. 

Sekolah dan institusi TVET perlu mendidik pelajar menjadi pengguna teknologi yang etika, kritikal dan bertanggungjawab. Latihan profesional kepada guru, pensyarah dan kaunselor juga perlu diperkasakan bagi memastikan mereka mahir menggunakan teknologi dan memahami isu penyalahgunaan bahan dalam konteks semasa.

Kesimpulannya, digitalisasi adalah kunci dalam usaha menangani isu dadah dalam kalangan Generasi Alpha.

Dengan perancangan bersepadu, dasar jelas dan kolaborasi antara pembuat dasar, institusi pendidikan dan agensi berkaitan, teknologi digital berpotensi menjadi pemangkin kepada sistem pencegahan dadah yang holistik, inklusif dan responsif terhadap cabaran generasi masa hadapan. -UTUSAN

 

DR. SITI MARHAMAH KAMARUL ARIFAIN

Pensyarah Kanan,

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN