SEJAK kebelakangan ini, laporan kes pembunuhan yang tular di media arus perdana dan media sosial mencetuskan kebimbangan masyarakat. Setiap tragedi kehilangan nyawa mengundang rasa takut, marah dan persoalan tentang tahap keselamatan negara.
Namun dalam menilai isu ini, kita perlu bersikap rasional serta berempati. Di sebalik angka dan tajuk sensasi, ada manusia, keluarga dan komuniti yang terluka. Pendekatan yang harmoni dan memanusiawikan amat penting agar kita tidak terperangkap dalam persepsi semata-mata.
Antara punca yang sering dikaitkan ialah tekanan hidup yang semakin meningkat. Kos sara hidup, beban kewangan dan ketidaktentuan ekonomi memberi kesan besar terhadap kestabilan emosi.
Tekanan berpanjangan tanpa sokongan boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar pertimbangan waras. Banyak tragedi bermula daripada pertengkaran kecil yang gagal dikawal. Justeru, usaha membina masyarakat yang harmoni harus merangkumi pendidikan pengurusan emosi dan sokongan psikososial yang mudah diakses.
Institusi keluarga juga memainkan peranan asas dalam membentuk sahsiah. Persekitaran yang penuh konflik, kurang kasih sayang atau tiada komunikasi sihat boleh meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak.
Apabila dewasa, mereka mungkin sukar mengurus kemarahan atau menyelesaikan konflik secara matang. Memanusiawikan isu ini bermaksud memperkukuh institusi keluarga melalui bimbingan keibubapaan, dialog terbuka dan budaya saling menyokong.
Penyalahgunaan dadah dan alkohol turut menyumbang kepada perlakuan agresif. Bahan terlarang menjejaskan pertimbangan rasional dan meningkatkan risiko tindakan melulu. Oleh itu, pencegahan tidak boleh bersifat menghukum semata-mata tetapi perlu merangkumi rawatan, pemulihan dan peluang kedua agar individu kembali berfungsi dalam masyarakat secara bermaruah.
Dalam era digital, media sosial boleh menjadi pemangkin konflik. Budaya mengecam dan memalukan secara terbuka menimbulkan dendam serta menghakis sensitiviti terhadap nilai nyawa.
Media dan pengguna perlu mengamalkan etika, menapis kandungan serta mengutamakan empati. Perbincangan awam hendaklah berteraskan fakta, bukan emosi yang membara.
Isu kesihatan mental juga wajar diberi perhatian serius. Stigma terhadap rawatan psikologi menyebabkan ramai memendam tekanan. Memperluas akses perkhidmatan kaunseling dan meningkatkan literasi kesihatan mental ialah langkah penting mencegah tragedi.
Kes pembunuhan bukan sekadar masalah individu tetapi cerminan cabaran sosial yang kompleks.
Membangun harmoni memerlukan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.
Dengan memanusiawikan setiap individu, memperkukuh nilai empati serta menyediakan sokongan yang mencukupi, kita mampu meminimumkan kehilangan nyawa. –UTUSAN
AZLIZA AZIZUL
Johor










