JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji persembahan anak buahnya selepas menewaskan kelab Liga 1 Jepun (Liga J1), Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Menurut Munoz, skuad Harimau Selatan mampu menang dengan jaringan lebih besar ketika berdepan lawan yang bermain dengan 10 pemain, namun sentuhan penyudah yang tumpul menjadi pemisah.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengingatkan pemain agar tidak terlalu gembira kerana tugas mereka belum selesai susulan perlu mengharungi tempoh 90 minit di Stadium Bolasepak Hiroshima, Rabu ini.
“Kemenangan di laman sendiri ini amat bermakna, pemain mempamer corak permainan berintensiti tinggi mengikut taktikal direncanakan. Kita boleh menang dengan jaringan lebih besar namun peluang itu tidak disudahkan dengan baik oleh Nacho (Mendez) dan Joao (Figueiredo).
“Apa pun, kami tidak boleh terlalu gembira kerana Sanfrecce berjaya mengurangkan defisit gol dan pastinya mereka akan lebih berwaspada pada aksi timbal balik di Hiroshima, minggu depan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menjaringkan satu gol manakala Sanfrecce Hiroshima merapatkan defisit gol hasil jaringan sendiri Nene pada penghujung permainan.
Menurut Munoz, barisan benteng pertahanan yang ditunjangi Eddy Israfilov cukup berkesan apabila berjaya merantai pasukan lawan daripada melakukan serangan berbahaya ke kubu JDT. – UTUSAN










