Apa harapan di tengah-tengah peperangan?

Apa harapan di tengah-tengah peperangan?

BENTENG negara akan menjadi lebih kukuh daripada sebarang senjata apabila masyarakat menjaga solat, menjauhi rasuah, meninggalkan riba dan memperkukuh ukhuwah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini menyaksikan ketegangan yang semakin meruncing antara kuasa-kuasa besar. Konflik melibatkan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) serta Israel bukan sekadar percaturan politik dan ketenteraan, bahkan membawa kesan besar terhadap kestabilan ekonomi, keselamatan serantau dan emosi umat manusia seluruhnya. 

Dalam neraca akhir zaman, peperangan dan fitnah besar disebut sebagai antara tanda yang akan berlaku. 

Namun Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi pencetus kerosakan atau penyebar kebencian. Sebaliknya, keamanan diletakkan sebagai asas kehidupan, manakala keadilan menjadi prinsip tertinggi dalam setiap tindakan. 

Jalan penyelesaian menurut Islam tidak bergantung semata-mata pada kekuatan senjata tetapi pada kekuatan iman, hikmah dan keadilan. Rundingan, diplomasi dan kebijaksanaan kepimpinan wajar diutamakan agar pertikaian tidak terus menyuburkan dendam. Umat Islam dituntut agar tidak terjebak dalam emosi melulu atau menyebarkan kebencian tanpa ilmu, sebaliknya tampil sebagai pembawa rahmat dan suara penenang dalam suasana yang tegang.

Bagi Malaysia, persiapan menghadapi kemungkinan krisis global perlu dilaksanakan secara zahir dan batin. Kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuh, keselamatan makanan dipastikan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan gelombang sentimen luar. Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, keharmonian ialah aset paling berharga yang wajib dipertahankan.

Namun persiapan batin jauh lebih utama. Sejarah menunjukkan bangsa yang memakmurkan masjid dan surau dengan solat berjemaah, majlis ilmu, zikir dan doa akan dikurniakan ketenangan serta keberkatan. 

Keamanan hakiki lahir daripada hubungan manusia dengan Penciptanya. Apabila masyarakat menjaga solat, menjauhi rasuah, meninggalkan riba dan memperkukuh ukhuwah, maka benteng negara akan menjadi lebih kukuh daripada sebarang senjata.

Perang mungkin menjadi ujian zaman tetapi penyelesaian tetap berada pada neraca wahyu dengan taubat, keadilan, kesatuan dan doa. Jika umat kembali kepada asas ini, Allah SWT berkuasa memelihara bangsa, agama dan negara daripada kehancuran yang tidak diingini. –UTUSAN

HALIM  ABDUL RAHMAN
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN