Wakaf selesai masalah kediaman pelajar

Wakaf selesai masalah kediaman pelajar

WAKAF pendidikan boleh digunakan untuk membangunkan kediaman pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMASUKAN pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) berlaku secara berterusan setiap tahun. Biasanya, pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh dua hingga empat tahun, yang menunjukkan keperluan mereka terhadap kediaman sementara seperti bilik asrama atau kolej kediaman sepanjang pengajian.

Faktor seperti kemudahan bergerak ke kuliah, penyertaan dalam aktiviti universiti dan kadar sewaan yang lebih rendah berbanding di luar kampus menjadikan kolej kediaman pilihan utama.

Namun, sebahagian IPT menghadapi kekangan penyediaan kediaman yang mencukupi, terutamanya untuk pelajar senior. Kolej kediaman lazimnya menampung pelajar tahun pertama dan akhir, manakala pelajar pertengahan pengajian perlu mencari alternatif lain. 

Situasi ini membuka peluang kepada komuniti setempat menawarkan rumah atau bilik sewa tetapi sebahagian pemilik mengenakan kadar tinggi, memaksa pelajar berkongsi ruang sempit demi mengurangkan kos. Beban ini bertambah apabila pelajar sudah menanggung yuran pengajian, makanan, pengangkutan dan bahan pembelajaran lain.

Kos sara hidup yang meningkat menambah tekanan, terutamanya kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau sederhana. Ada yang bergantung pada bantuan zakat, biasiswa atau sokongan keluarga terhad. Apabila bilangan rumah sewa terhad tetapi permintaan tinggi menyebabkan kadar sewaan meningkat selaras hukum penawaran dan permintaan. 

Walaupun universiti berusaha menambah kapasiti kediaman, namun pembinaan kolej baharu memerlukan masa, dana besar dan kelulusan pelbagai pihak, menjadikan pelajar terus terkesan.

Oleh itu, pendekatan tersusun dan berstrategi diperlukan untuk meringankan beban kediaman pelajar. Jangka pendek boleh melibatkan skim bantuan sewa, subsidi kediaman atau kerjasama dengan koperasi untuk kadar sewa terkawal. 

Jangka sederhana termasuk pembangunan kolej tambahan atau blok modular sebagai langkah cepat dan kos efektif. Solusi jangka panjang perlu mampan, bukan semata-mata bergantung kepada yuran atau peruntukan kerajaan.

Antara pendekatan berpotensi ialah memperkasa institusi wakaf di IPT. Wakaf bukan sekadar sumbangan amal tetapi instrumen pembangunan sosioekonomi berimpak panjang.

Di banyak negara Islam, wakaf pendidikan digunakan untuk biasiswa, operasi universiti, perpustakaan dan kediaman pelajar. Melalui wakaf tunai, masyarakat dan alumni boleh membantu pelajar membayar sewa atau membiayai pembangunan kolej baharu. Ini mengurangkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman dan mengukuhkan peranan universiti dalam memayungi kebajikan masyarakat.

Wakaf juga boleh diwujudkan secara kreatif melalui dana untuk dapur komuniti, bilik pembelajaran, ruang rehat atau tempat solat dalam kolej. Alumni yang pernah menghadapi kesukaran ketika belajar boleh menjadi penyumbang utama. 

Platform digital wakaf yang telus dan mesra pengguna membolehkan pemantauan projek secara langsung, sekali gus meningkatkan kepercayaan penyumbang.

Contoh kejayaan termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, yang sejak 975 masihi berkembang melalui sokongan wakaf, melahirkan ilmuwan tersohor. 

Di Turkiye, universiti seperti Istanbul dan Fatih era Uthmaniyyah juga dibangunkan melalui tradisi wakaf, termasuk asrama, perpustakaan dan kemudahan kesihatan pelajar.

Sementara di Malaysia, walaupun wakaf sudah lama wujud dalam masjid dan sekolah agama, namun pengaplikasian di universiti masih kecil dan berskala terhad. Pelaksanaan profesional dengan audit dan laporan telus adalah kunci kejayaan.

Model wakaf moden boleh melibatkan korporat, badan amanah atau koperasi untuk membina kediaman pelajar secara berperingkat. 

Universiti bertindak sebagai pemegang amanah, sementara syarikat Islamik menyumbang dana dan kepakaran pembangunan. Model ini mengurangkan tekanan kewangan universiti dan membuka ruang untuk industri menyumbang kepada pembangunan bakat negara.

Kesimpulannya, IPT perlu serius meneroka potensi wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan. Pengurusan telus dan profesional memastikan kediaman pelajar lebih selesa, mampu sewa dan berdaya saing, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada akademik dan aktiviti universiti. 

Pendidikan tinggi bukan sekadar memperoleh ijazah tetapi pelaburan jangka panjang terhadap modal insan. 

Wakaf, jika digerakkan dengan baik, mampu menjadi pemangkin ekosistem pendidikan lebih adil, berdaya tahan dan berakhlak.-UTUSAN

DR. NUR ARZWIN MOHAMED ARIS
Pensyarah Kanan,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN