KUALA LUMPUR: Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya disekat kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS), Israel atau mana-mana pihak terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menyatakan perkara itu dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Menurut Araghchi, kapal yang tidak termasuk dalam kategori berkenaan masih dibenarkan melalui laluan strategik itu dengan selamat, namun perlu berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan keselamatan pelayaran.
“Selat Hormuz ditutup kepada kapal yang dimiliki atau mempunyai kaitan dengan AS, Israel atau mana-mana pihak yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.
“Kapal lain masih boleh melalui selat itu dengan selamat, namun perlu berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran,” katanya dalam kenyataan semalam seperti dilaporkan media Iran, Wana.
Terdahulu, kedua-dua menteri luar itu membincangkan perkembangan serantau, khususnya kesan ekonomi susulan tindakan ketenteraan berterusan oleh AS dan Israel terhadap Iran.
Araghchi menegaskan Iran bertekad mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayahnya dan akan menggunakan segala cara yang ada bagi melindungi sempadan negara.
Bagaimanapun, katanya, Iran kekal komited mengekalkan hubungan baik dengan semua negara serantau.
“Penggunaan wilayah dan kemudahan ketenteraan negara lain oleh AS dan Israel untuk melancarkan serangan terhadap Iran tidak memberi pilihan kepada Tehran selain mengambil langkah pertahanan di bawah hak mempertahankan diri,” katanya.
Beliau turut menggesa negara berdekatan supaya menghalang penyalahgunaan wilayah dan kemudahan mereka oleh AS dan Israel bagi tindakan agresif terhadap Iran, yang disifatkan sebagai tanggungjawab dari segi undang-undang, moral dan Islam.
Menurutnya, tindakan ketenteraan AS dan Israel turut menjejaskan keselamatan serantau, ekonomi serta keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, dengan ketidakstabilan di laluan itu dilihat sebagai akibat langsung daripada tindakan tersebut.
Katanya, Iran telah melaksanakan langkah selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayahnya di selat berkenaan.
Sementara itu, Mohamad menegaskan pendirian Malaysia yang mengutuk sebarang bentuk pencerobohan terhadap Iran serta menekankan keperluan meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan serta keselamatan di rantau berkenaan.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan solidariti kepada Iran atas kematian orang awam akibat serangan AS dan Israel, selain menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan dan keselamatan serantau yang berkekalan.-UTUSAN










